KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Masa lapang Adi Shah Putra Noor Izwan sebelum ini sering dihabiskan dengan bermain telefon bimbit hingga berjam-jam, namun rutin itu kini berubah apabila terpilih menyertai Program Ilham Seni Diraja, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupannya.
Teruja mengikuti program cetusan idea Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofia itu, Adi Shah Putra, 14, menyifatkan peluang tersebut sebagai ruang untuk mengembangkan minatnya dalam bidang nyanyian dengan tenaga pengajar profesional.
Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Petaling itu menzahirkan rasa syukur kerana terpilih daripada 200 pelajar untuk projek rintis berkenaan yang membolehkan dia mempelajari teknik nyanyian yang tidak diperoleh di sekolah, secara percuma selain dapat membantu meningkatkan keyakinan diri.
“Sekurang-kurangnya apabila ada latihan koir masa lapang saya lebih terisi kerana sebelum ini banyak dihabiskan dengan bermain telefon bimbit di rumah.
“Saya juga seorang pelajar yang sederhana dalam pelajaran dan kini menemui perkara yang sesuai dengan minat saya,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Pelancaran Program Ilham Seni Diraja di Dewan Santapan Utama, Istana Negara.
Inisiatif julung kali itu membuka ruang pembangunan bakat seni serta pembentukan sahsiah dalam kalangan pelajar sekolah terpilih di sekitar Kuala Lumpur dengan memberi peluang kepada mereka yang berpontensi dalam bidang seni, khususnya daripada golongan B40.
Mereka yang dikenal pasti akan diberi pendedahan dengan mengikuti bengkel kreatif, sesi bimbingan bersama tenaga pengajar profesional serta pendedahan menyeluruh dalam bidang kebudayaan dan seni kreatif, sekali gus memperluas perspektif mereka terhadap dunia seni.
Bagi memastikan keberkesanannya, jumlah untuk projek rintis itu dihadkan kepada 200 pelajar sahaja supaya setiap peserta menerima bimbingan yang lebih fokus serta pendedahan berkesan sepanjang pelaksanaan program.
Pelajar Tingkatan Dua SMK Dato’ Ibrahim Yaakub, Kepong, Genelia Wilson, 14, pula mengharapkan program berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada pelajar daripada golongan B40 lain supaya berani mencuba dan meneroka bidang seni.
Baginya pengalaman menyertai program itu bukan sahaja menambahkan kenalan bahkan memberi inspirasi dan kepercayaan kepadanya untuk terus menyerlahkan kreativiti dalam diri selain tidak mahu mensia-siakan peluang yang diperoleh.
“Saya rasa program ini membuktikan bahawa pelajar seperti kami juga mempunyai peluang untuk berkembang jika diberikan ruang dan bimbingan yang betul,” katanya.
Berbeza pula bagi pelajar Tingkatan Dua Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Chow Kit, Iqram Khan Abdullah, 14, yang menyifatkan penyertaannya dalam program itu sebagai peluang di luar jangkaan.
“Saya tidak pernah sangka dapat berada dalam kumpulan koir yang besar seperti ini dan diajar oleh Datuk Syafinaz Selamat...ia benar-benar satu peluang yang tidak disangka. Program ini membuatkan saya sedar bakat yang selama ini saya sendiri tidak nampak,” katanya.
Sepanjang pelaksanaan program itu, peserta akan mengikuti latihan dan pembelajaran merangkumi enam kluster seni utama iaitu Kluster Seni Suara dan Instrumen, Kluster Seni Tari, Kluster Produksi dan Pengurusan Pentas, Kluster Artistik, Kluster Lakonan serta satu kluster sosial iaitu Kluster Penyelidikan dan Bimbingan Kaunseling.
Kemuncak program tersebut menyaksikan kesemua peserta terlibat secara langsung dalam penghasilan persembahan teater yang dijadualkan berlangsung pada Disember tahun ini.
Sementara itu, Koordinator Program Ilham Seni Diraja Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata program cetusan idea Raja Permaisuri Agong itu mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap pembangunan potensi dan sahsiah pelajar daripada golongan B40.
Beliau yang juga Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara berkata pelajar dipilih daripada beberapa sekolah di sekitar Kuala Lumpur termasuk 40 pelajar SBJK tanpa mengganggu kurikulum serta takwim persekolahan sedia ada.
“Program ini bukan sekadar mencungkil bakat dalam nyanyian atau lakonan, malah membuka ruang kepada bidang seni lain seperti rekaan set, grafik dan seni visual di samping membentuk disiplin, komitmen serta nilai kebersamaan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Azuan Effendy berkata pendedahan seni yang positif mampu mengalihkan perhatian pelajar daripada pengaruh negatif termasuk media sosial selain berperanan membina jati diri dan keyakinan diri bagi melahirkan generasi berpotensi kepada pembangunan negara.
Dalam pada itu, Tan Sri Vincent Tan yang juga antara penaja program tersebut, menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai platform penting yang memberi peluang kepada pelajar B40 untuk meneroka bakat dalam bidang seni.
“Program ini sangat bagus kerana pelajar B40 jarang mempunyai peluang belajar menyanyi, muzik atau tarian seperti kanak-kanak daripada keluarga berkemampuan. Inisiatif ini memberi ruang yang lebih adil kepada mereka untuk mengembangkan bakat serta potensi diri,” katanya.
-- BERNAMA
