WASHINGTON, 31 Jan (Bernama-Anadolu) -- Senat Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat meluluskan pakej pembiayaan menjelang tarikh akhir yang bakal mencetuskan penutupan sebahagian operasi kerajaan pada tengah malam, lapor Anadolu Ajansi.
Ahli Senat mengundi 71-29 untuk menyokong pakej berkenaan yang merangkumi lima rang undang-undang peruntukan jangka panjang, selain melanjutkan pembiayaan bagi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) selama dua minggu bagi membolehkan rundingan lanjut mengenai penguatkuasaan imigresen dijalankan.
Rang undang-undang itu kini akan dibawa ke Dewan Perwakilan untuk tindakan lanjut.
Pembiayaan Persekutuan dijadualkan tamat pada tengah malam memandangkan Dewan Perwakilan masih belum bertindak ke atas perundangan itu dan dijangka hanya akan bersidang semula pada Isnin.
-- BERNAMA-ANADOLU
