AM

35 TOKOH PELBAGAI BIDANG TERIMA LANTIKAN AHLI MAJLIS PENGAKAP NEGARA

31/01/2026 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Sebanyak 35 tokoh daripada pelbagai bidang menerima surat lantikan sebagai Ahli Majlis Pengakap Negara yang disampaikan oleh Ketua Pengakap Negara Mej Jen Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin di Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) di sini hari ini.

Antara penerima lantikan itu ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul dan bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang.

Pada majlis berkenaan, Prof Dr Mustaffa Ibrahim yang merupakan Pesuruhjaya Adult in Scouting (AIS) Kebangsaan bagi PPM ditauliahkan sebagai Pesuruhjaya Pentadbiran dan Tadbir Urus.

Majlis turut menyaksikan penyerahan pentauliahan kepada beberapa Pesuruhjaya Kebangsaan serta Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan.

Mohd Zin dalam ucapannya berkata pemimpin baharu yang dilantik merupakan ‘ejen perubahan’ dan ‘arkitek masa depan’ yang memikul tanggungjawab besar untuk mencorakkan landskap pembangunan belia negara.

Beliau berkata majlis hari ini turut menandakan permulaan satu era baharu kepimpinan Pengakap yang lebih dinamik, selaras dengan komitmen PPM untuk mendukung aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau turut menyatakan keyakinan dengan komitmen yang teguh daripada semua Ahli Majlis Pengakap Negara memandangkan pergerakan Pengakap bukan sahaja akan mencapai sasaran Pelan Strategik, malah berupaya melampaui jangkaan.

“Kita komited untuk mendukung aspirasi Malaysia MADANI dengan menerapkan nilai-nilai teras Kelestarian, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat-Menghormati, Keyakinan, dan Ihsan dalam setiap nadi pergerakan kita.

“Mari kita bersama-sama menjadikan PPM ‘from good to great’ dalam memainkan peranan sebagai kuasa positif yang mengubah kehidupan, membina masyarakat dan mencipta masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara Datuk Ahmad Shazily Ismail Bakti dan Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Dr Mohammed Mukhyuddin Sarwani.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan