PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini dalam proses menyemak akta berkaitan sebelum mengambil alih sepenuhnya pelaksanaan program Tingkatan Enam dan matrikulasi.
"Kalau sebelum ini yang berkaitan dengan Tingkatan Enam dan juga matrikulasi itu berada di bawah Kementerian Pendidikan.
"Jadi langkah yang perlu kita kena mengikut proses yang betul (step by step). Kita harap ia akan dapat kita lakukan," kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Wilayah (Premier) di sini hari ini ketika ditanya mengenai perkembangan penstrukturan prauniversiti itu di bawah KPT.
Pada 20 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti merangkumi Tingkatan Enam dan matrikulasi bermula tahun ini.
Beliau berkata langkah itu sekali gus menjadikan kedua-dua kelompok itu secara rasmi sebagai pelajar pendidikan tinggi.
-- BERNAMA
