Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman
KOTA KINABALU, 1 Feb (Bernama) -- Sambutan Thaipusam di Sabah menjadi cerminan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia apabila masyarakat pelbagai kaum dan agama hadir bersama-sama memeriahkan perayaan itu.
Di Kuil Sri Subramaniar, Lok Kawi di sini, suasana sambutan hari ini bukan sahaja dihiasi dengan ritual keagamaan masyarakat Hindu, malah turut diserikan dengan kehadiran pengunjung Melayu, Cina, Kadazan dan Dusun yang datang sebagai tanda semangat kebersamaan komuniti.
Wanita berketurunan Kadazan, Miko Yingyiing, 33, berkata sambutan Thaipusam di Sabah mencerminkan keunikan masyarakat di negeri ini yang saling menghormati budaya dan kepercayaan masing-masing.
Dia yang beragama Kristian berkata kehadirannya setiap tahun sejak lima tahun lepas disebabkan tertarik dengan keunikan budaya serta suasana perayaan yang meriah dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
“Saya datang hari ini untuk meraikan Thaipusam bersama kawan-kawan. Sabah sangat unik kerana perkara ini (kebersamaan pelbagai kaum),” katanya.
Bagi Syazwani Abd Harun, 27, kehadirannya ke kuil yang menjadi antara pusat ibadat utama masyarakat Hindu di Kota Kinabalu itu, adalah untuk memberikan sokongan kepada ayah mentuanya yang membawa kavadi, selain menyertai aktiviti sukarelawan sepanjang sambutan berkenaan.
“Dalam satu keluarga kami pun memang begitu (hidup dalam keharmonian serta menghormati budaya dan kepercayaan), ada kaum India, Islam dan Cina. Di Sabah pula, masyarakatnya memang bercampur sejak dulu,” katanya kepada Bernama sambil mengagihkan makanan kepada pengunjung.
Sementara itu, Presiden Kuil Sri Subramaniar Lok Kawi, Kapten M. Shamaladevi berkata persiapan sambutan Thaipusam di kuil yang dibina pada awal 1970-an itu turut dibantu oleh masyarakat bukan India yang mencerminkan semangat muhibah serta nilai kebersamaan yang menjadi teras keharmonian rakyat Sabah.
“Di sini walaupun rakyat berbeza etnik, kami tetap bersatu apabila ada sesuatu perayaan dan inilah yang membezakan serta menjadikannya unik di Sabah,” katanya.
Ribuan penganut hindu hari ini membanjiri Pantai Lok Kawi seawal 5 pagi sebelum berjalan sejauh kira-kira lima kilometer menuju ke Kuil Sri Subramaniar bagi menyambut perayaan Thaipusam.
-- BERNAMA
