BEIJING, 4 Feb (Bernama-CMG) -- Prestasi import dan eksport antara China dengan anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang lain terus cemerlang apabila jumlah perdagangan barangan mencapai 26.29 trilion yuan (RM14.87 trilion) pada 2025, mewakili 57.82 peratus daripada nilai keseluruhan dagangan luar China.
Pentadbiran Am Kastam China (GACC) memaklumkan bahawa perdagangan menyasar anggota dari ASEAN, Amerika Latin serta Eropah Tengah dan Timur mencatat pertumbuhan pesat, didorong oleh pelbagai faktor antaranya kesalinghubungan di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kemudahan perkhidmatan keretapi China-Laos dan rel kargo China-Eropah.
Sementara itu, daya tahan perdagangan bertambah kukuh dengan sektor pengangkutan darat dan udara menunjukkan peningkatan ketara.
GACC berkata ruang pasaran antara China dengan ahli APEC lain semakin diperluas.
Pada tahun lepas, China mengeksport produk berteknologi tinggi yang bernilai 4.63 trilion yuan (RM2.62 trilion) kepada anggota APEC lain, naik 8.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Khususnya, eksport bateri litium-ion, produk fotovoltan dan kenderaan elektrik masing-masing mencatat nilai sebanyak 238.03 bilion yuan (RM134.66 bilion), 52.04 bilion yuan (RM29.44 bilion) dan 157.5 bilion yuan (RM89.1 bilion).
-- BERNAMA-CMG
