EKONOMI

HAMPIR 1 BILION E-INVOIS DIKELUARKAN SETAKAT 4 FEB – AMIR HAMZAH

04/02/2026 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Sekitar 981 juta e-Invois telah dikeluarkan setakat 4 Feb 2026, menunjukkan penggunaan sistem berkenaan secara meluas dalam kalangan pembayar cukai di seluruh negara.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata bagi memastikan proses pematuhan dilakukan secara adil dan berhemah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menggunakan pendekatan dorongan halus (nudging) sebagai tindakan awal pematuhan bagi meningkatkan kesedaran dan memberi peluang kepada pembayar cukai membetulkan maklumat serta mengemukakan borang cukai secara sukarela.

Beliau berkata berdasarkan semakan awal data Fasa 1 dan Fasa 2, seramai 17,188 pembayar cukai yang dikenal pasti tidak patuh dalam pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) telah tampil mengemukakan BNCP secara sukarela.

“Ini melibatkan pendapatan tertunggak bagi tahun-tahun terdahulu sebanyak RM1.4 bilion, yang menyumbang kepada jumlah cukai tambahan sebanyak RM290 juta.

“Ini membuktikan bahawa pendekatan pematuhan awal dan galakan pematuhan secara sukarela memberi hasil yang positif,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata pelaksanaan e-Invois tidak membebankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kerana bilangan medan data, yang wajib diisi ialah 35.

“Daripada 35 medan data yang wajib, PMKS hanya perlu mengisi lima medan kerana kebanyakan maklumat akan diisi secara automatik melalui sistem perniagaan atau point of sale (POS).

“Di samping itu, kemudahan imbasan kod QR turut disediakan bagi membolehkan penjual mendapatkan maklumat pembeli dengan lebih mudah dan pantas tanpa perlu diisi secara manual,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan