Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Rabu menjejaki kenaikan niaga hadapan emas di Bursa Komoditi New York (Comex), didorong pembelian semasa harga rendah selepas jualan ketara minggu lepas.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata kenaikan semula itu turut disokong oleh penyusutan dolar AS serta sentimen risiko global meningkat.
Beliau berkata pergerakan harga terkini itu mengukuhkan peranan emas sebagai penstabil portfolio bagi pelabur Malaysia, dan bukannya instrumen dagangan jangka masa pendek, dengan turun naik harga dijangka berterusan walaupun asas jangka panjang kekal menyokong.
“Bagaimanapun, permintaan asas kekal teguh, disokong oleh ketegangan geopolitik termasuk ketegangan baharu antara Amerika Syarikat dan Iran, pembelian berterusan oleh bank pusat serta ketidaktentuan dasar global,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, Februari 2026 meningkat kepada US$5,110.0 setiap auns troy daripada US$4,908.6; Mac 2026 naik kepada US$5,127.5 setiap auns troy daripada US$4,926.1 manakala April 2026 menokok kepada US$5,144.3 setiap auns troy daripada US$4,942.9 pada Selasa.
Kontrak bagi serahan Mei 2026, Jun 2026 dan Ogos 2026 turut mengukuh, ditutup pada US$5,144.3 setiap auns troy berbanding US$4,942.9 semalam.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 14 lot daripada 48 lot semalam, manakala kepentingan terbuka susut kepada 111 kontrak daripada 139 kontrak.
Harga emas fizikal pada US$4,920.95 setiap auns troy semasa penetapan petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 3 Feb, 2026.
-- BERNAMA
