SEPANG, 4 Feb (Bernama) -- Naib juara MotoGP 2025, Alex Marquez memperagakan tunggangan hebat untuk menguasai hari kedua ujian musim sejuk pramusim MotoGP Dunia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Walaupun hujan renyai pada lewat petang, pelumba Sepanyol itu tidak terganggu, mencatat masa terpantas 1 minit 58.094 saat (s) pada pusingan keempat daripada lima pusingan, sekali gus menduduki tangga teratas catatan masa.
Prestasi Alex meletakkannya di hadapan Marco Bezzecchi dari Aprilia Racing yang mencatat masa terpantas 1:58.705s, manakala Maverick Vinales dari Red Bull KTM Tech3 melengkapkan senarai tiga teratas dengan 1:58.880s.
Sebelum itu, adik kepada juara dunia Marc Marquez itu pernah mencetuskan kebimbangan seketika selepas terjatuh di Selekoh 5 ketika Sesi 1.
Bagaimanapun, Alex segera kembali ke kawasan pit Gresini Ducati dan mengesahkan kejadian itu bukan serius.
“Pada sebelah pagi, kami mencuba pelbagai usaha, terutama dengan tayar belakang sederhana yang telah digunakan. Apabila menggunakan tayar baharu jenis lembut di sini, perbezaan kelajuannya sangat ketara.
“Anda boleh meningkat kira-kira dua saat dan pada masa itu perlu berhati-hati. Cengkaman litar juga tinggi, dan kadang-kadang bahagian belakang mendorong hadapan. Selekoh itu (Turn 5) agak kritikal, tapi ia bukan masalah besar,” katanya kepada pemberita.
Alex berkata keyakinannya kekal tinggi walaupun terjatuh, seperti yang dibuktikan menerusi prestasi petangnya.
“Sesi petang, saya bermula dengan tayar terpakai dan mencatat 1:58.0s. Perasaan itu sangat baik. Saya faham tentang kemalangan itu dan kami menantikan hari esok,” katanya.
-- BERNAMA
