KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Southern Cable Group Bhd memperoleh pesanan tambahan bernilai RM121.1 juta di bawah kontrak sedia ada dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pembekalan kabel bawah tanah dan konduktor.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar kabel dan wayar itu memaklumkan bahawa tambahan pesanan berkenaan adalah susulan keputusan TNB untuk meningkatkan skop pesanan kontrak sedia ada yang dianugerahkan kepada Southern Cable pada Februari 2025.
Kontrak itu dilaksanakan oleh anak syarikatnya, Southern Cable Sdn Bhd, bagi Bahagian Rangkaian Pengagihan TNB.
Menurut syarikat itu, peningkatan berkenaan menjadikan jumlah nilai kontrak dengan TNB mencecah RM524.6 juta, berbanding RM403.6 juta sebelum ini.
Pengarah Urusan Southern Cable Tung Eng Hai berkata arahan variasi kontrak tersebut mencerminkan keyakinan berterusan TNB terhadap keupayaan kumpulan itu membekalkan kabel yang kritikal bagi menyokong kebolehpercayaan grid tenaga negara.
Beliau berkata bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga yang dipacu oleh peluasan pesat pusat data, pembangunan industri serta projek tenaga solar, kumpulan itu terus memperkukuh kapasiti dan keupayaannya dalam penyelesaian kabel dan wayar.
“Melangkah ke hadapan, kami berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh lebih banyak pesanan dan memanfaatkan pertumbuhan industri, sekali gus mengukuhkan kepimpinan pasaran kami,” katanya.
Susulan penganugerahan itu, jumlah pesanan dalam tangan kumpulan meningkat kepada RM1.16 bilion, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan sehingga 2027.
Perkembangan itu turut mencerminkan permintaan berterusan terhadap infrastruktur kuasa kritikal ketika Malaysia mempercepatkan usaha pemodenan grid negara selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
-- BERNAMA
