SUKAN

MALAYSIA ATASI MYANMAR 5-0 DALAM BATC 2026

04/02/2026 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Skuad badminton lelaki negara tidak menghadapi masalah untuk menempah laluan ke pusingan seterusnya selepas menewaskan Myanmar 5-0 pada aksi pembukaan Kumpulan D  Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di Qingdao hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Conson, Pusat Sukan Qingdao, menyaksikan perseorangan negara Justin Hoh menyumbang mata pertama negara dengan menewaskan Hein Htut 21-18, 21-19 dalam masa 48 minit. 

Eogene Ewe kemudian meletakkan Malaysia di hadapan 2-0 selepas menewaskan Nyan Shaine Lin dalam perlawanan straight set 21-10, 21-14.

Skuad negara terus melebarkan jurang mata 3-0 melalui Kong Wei Xiang yang mudah menundukkan Lal Zuidika 21-11, 21-11. Seterusnya, beregu negara Aarn Tai-Roy King Yap membelasah gandingan Myanmar, Nyan Shaine Lin-Phone Htet Zaw 21-11, 21-9, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia 4-0.

Beregu terakhir, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri melengkapkan kemenangan besar 5-0 dengan menundukkan Phyo Thurain Kyaw-Lal Zuidika 21-9, 21-7.

Malaysia dijadual menghadapi cabaran sebenar menentang Indonesia pada aksi terakhir kumpulan esok.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke suku akhir.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan