SUNGAI PETANI, 5 Feb (Bernama) -- Sebuah kilang pembuatan makanan di Kawasan Perusahaan Ringan Angsana dekat sini diarah menghentikan operasi selepas dikesan melepaskan efluen berwarna keruh kekuningan ke sistem perparitan awam semalam.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata tindakan itu dibuat di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan pihak premis diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan bagi menangani masalah itu.
“Siasatan dibuat berdasarkan pemantauan berkala ke atas industri-industri yang beroperasi di Kuala Muda dan berpotensi menghasilkan pencemaran kepada alam sekitar.
“Hasil siasatan mendapati efluen berwarna keruh kekuningan adalah berpunca daripada sistem pengolahan efluen perindustrian premis itu yang gagal berfungsi dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sharifah Zakiah berkata sampel efluen juga telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Beliau berkata premis yang sama juga pernah dikenakan tindakan kompaun oleh JAS Kedah bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
“JAS mengingatkan pihak industri untuk lebih peka akan kehendak perundangan dan sentiasa memastikan sistem kawalan pencemaran sentiasa diselenggara serta mematuhi had pelepasan yang telah ditetapkan oleh Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Sharifah Zakiah berkata pihaknya menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat dan bekerjasama bagi melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau menerusi laman web http://eaduan.doe.gov.my.
-- BERNAMA
