SINGAPURA, 5 Feb (Bernama) -- SGX Group (Singapore Exchange) hari ini, mencatatkan keputusan separuh tahun yang paling kukuh, dengan keuntungan bersih melonjak sebanyak 11.6 peratus kepada S$357.1 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2026 berakhir 31 Dis 2025 berbanding S$320.1 juta (S$1 = RM3.09) yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Pendapatan juga naik 10.1 peratus kepada S$636.6 juta daripada S$578 juta, menunjukkan kekuatan tawaran berbilang asetnya dalam menyokong pelabur di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global.
Ketua Pegawai Eksekutif Loh Boon Chye berkata bursa itu mencapai prestasi separuh tahun terkuat selepas didorong oleh pertumbuhan mampan dalam perniagaan berbilang asetnya.
"Ketahanan platform kami yang dipercayai telah membolehkan peserta pasaran mempelbagaikan pelaburan mereka dan mengurus risiko dalam persekitaran global yang mencabar.
"Kami kekal yakin dalam menyampaikan pertumbuhan hasil jangka sederhana sebanyak enam hingga lapan peratus bersama pulangan pemegang saham yang mampan," katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Menurut Loh, francais derivatif Singapore Exchange pula merekodkan paras tertinggi separuh tahun sebanyak 1.35 juta kontrak dalam purata volum harian, menggariskan kekuatan dan relevan tawaran pengurusan risiko bertaraf dunia bursa itu.
“Melangkaui pasaran tersenarai, perniagaan pertukaran asing (FX) SGX kami telah menokok agak jauh, dengan pemerolehan pelanggan dan penggunaan platform mendorong purata volum harian ke paras tertinggi baharu sebanyak US$180 bilion,” katanya.
Di pasaran tempatan, Loh menekankan bahawa aktiviti pasaran saham telah teguh, disokong oleh langkah-langkah yang berpandangan ke hadapan daripada Equities Market Review Group.
Beliau menjelaskan nilai dagangan purata harian (SDAV) sekuriti bertambah sebanyak 20 peratus dari tahun ke tahun kepada S$1.51 bilion, tertinggi dalam tempoh lima tahun selepas dipacu oleh aliran tawaran awam permulaan (IPO) yang semakin meningkat dan penyertaan runcit pada paras tertinggi empat tahun.
-- BERNAMA
