YAN, 5 Feb (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan geran bernilai lebih RM16.2 juta bagi menjayakan pelaksanaan Program Desa Lestari (PDL) di negeri ini.
Pengerusi KEDA Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata peruntukan itu melibatkan 16 koperasi di Kedah yang terpilih menyertai program berkenaan sejak diperkenalkan pada 2013.
Beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah melantik KEDA sebagai agensi pelaksana PDL dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15.593 juta, manakala Program Modal Insan dan Kemasyarakatan pula menerima peruntukan sebanyak RM661,192.
“Keseluruhan peruntukan ini melibatkan 16 koperasi di bawah sektor ekonomi pelancongan, perkhidmatan, ternakan dan pembuatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bot Desa Lestari Koperasi Desa KEDA Sungai Udang Berhad, di sini hari ini.
Turut hadir Penasihat Program dan Aktiviti KEDA Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA,Khairul Azmeer Abu Bakar.
Sementara itu, Mahdzir berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada Koperasi Desa KEDA Sungai Udang Berhad bagi mengurus dan memperkasakan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata peruntukan itu merangkumi pembelian sebuah bot eksplorasi, sebuah bot pelancong, pembelian peralatan selam skuba, kerja pembinaan stor dan kelengkapan bot, selain pembiayaan kos koperasi bagi projek bot pelancong.
“Saya berharap Program Desa Lestari ini dapat membantu koperasi menguruskan bot pelancong secara lebih sistematik memandangkan koperasi ini mempunyai pengalaman dalam pengurusan bot pelancongan sejak 2018.
“Pihak KEDA juga akan memantau prestasi koperasi dari segi pendapatan, peluang pekerjaan yang diwujudkan serta laporan pencapaian yang perlu dikemukakan dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Beliau berkata program itu secara tidak langsung membantu koperasi memperkenalkan Pulau Songsong sebagai destinasi pelancongan baharu di Kedah selari dengan pelantikan Koperasi Desa KEDA Sungai Udang Berhad sebagai operator rasmi Pulau Songsong oleh Majlis Daerah Yan pada November tahun lepas.
“Bantuan bot yang disediakan itu mampu menjadi tarikan utama kepada pelancong untuk berkunjung ke Pulau Songsong, khususnya melalui aktiviti pelancongan air seperti selam skuba yang ditawarkan oleh pihak koperasi,” katanya.
Pada program sama, Mahdzir turut menyampaikan geran tanah kepada 21 penerima dari Desa KEDA Sungai Udang.
-- BERNAMA
