AM

KUSKOP PERKENAL BARAKAT, BERKAT KUKUH PEMBIAYAAN USAHAWAN SEMPENA MUSIM PERAYAAN - SIM

05/02/2026 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui TEKUN Nasional dan SME Corp Malaysia memperkenalkan dua program pembiayaan khas dengan nilai keseluruhan RM80 juta, bagi memperkukuh akses pembiayaan usahawan mikro sempena musim perayaan.

Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata program itu merangkumi Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) bernilai RM50 juta sempena Ramadan dan Aidilfitri oleh TEKUN Nasional, dan Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) sebanyak RM30 juta sempena Tahun Baharu Cina oleh SME Corp Malaysia.

“Skim BARAKAT ini khusus kepada peniaga kecil dan mikro usahawan Melayu, khususnya mereka yang terlibat dalam jualan dan perniagaan di pasar dan bazar Ramadan sebagai modal pusingan.

“Kadar yang dikenakan juga hanyalah tiga peratus. Diharapkan dengan pembiayaan ini kita akan membantu usahawan kecil khususnya di bulan Ramadan sebagai modal pusingan, meningkatkan balik stok dan promosi,” katanya pada sidang media mengenai pengumuman dua skim itu, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin, Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abd Ghani serta Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy.

Bagi BARAKAT, TEKUN menyediakan pembiayaan hingga RM30,000 serta tempoh pembiayaan hingga 12 bulan yang bakal memberikan manfaat kepada peniaga dalam sektor makanan dan minuman, pakaian serta barangan keperluan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

“Jika dianggarkan secara maksimum, lebih kurang 1,666 pemohon boleh memohon bagi skim ini,  manakala bagi skim BERKAT, kira-kira 1,000 pemohon. Bagi skim BERKAT, peniaga boleh mula memohon serta-merta, manakala skim BARAKAT sudah boleh mula memohon mulai hari ini,” katanya.

Mengulas mengenai BERKAT, Sim berkata skim itu bertujuan memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan mikro milikan Cina melalui Platform Pengendali Pembiayaan Peer-To-Peer (P2) yang menawarkan pembiayaan invois dan modal hingga RM30,000.

“Jumlah dana sebanyak RM30 juta khusus kepada peniaga mikro dan juga kecil daripada kalangan kaum Cina ini juga memberikan tumpuan khas kepada mereka yang terlibat dalam sektor ataupun perniagaan Tahun Baru Cina dan juga sektor makanan.

“Saya harap dengan adanya dua skim ini, khususnya untuk usahawan mikro dan kecil, kita boleh bantu para peniaga Malaysia selaras dengan visi KUSKOP untuk memperhebat perniagaan Malaysia memperkukuh strategi ‘ABCD’ yang merujuk kepada produktiviti (A), birokrasi dipermudah (B), capaian modal (C) dan daya akses pasaran (D),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan