AM

ZCHWANTECH, MAGNA AI METERAI KERJASAMA BANGUNKAN "SOVEREIGN AI CLOUD"

05/02/2026 09:29 PM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Penyedia penyelesaian teknologi tempatan, Zchwantech Group, hari ini memeterai kerjasama strategik dengan Magna AI bagi menyokong pembangunan Sovereign AI Cloud dan mempercepat agenda transformasi digital Malaysia yang selamat serta berdaulat.

Pengerusi Zchwantech Group Datuk Seow Gim Shen berkata kerjasama itu memberikan tumpuan kepada reka bentuk dan pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) berdaulat, merangkumi saluran data dan model, operasi AI, persekitaran pengkomputeran berprestasi tinggi bagi menyokong beban kerja AI pada peringkat perusahaan dan nasional.

Beliau berkata di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama membangunkan pusat data AI khusus yang direka untuk menyediakan kapasiti pengkomputeran berprestasi tinggi bagi menyokong agenda transformasi digital negara.

"Seiring dengan pemecutan transformasi digital, pendekatan keselamatan tradisional semata-mata tidak lagi mencukupi.

"Dengan mengintegrasikan keselamatan siber bersama AI yang canggih, kerjasama ini melengkapkan organisasi dengan keupayaan yang proaktif dan adaptif untuk melindungi sistem kritikal sambil terus memacu inovasi," katanya dalam ucapan pada majlis pemeteraian MoU itu yang disaksikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di sini, hari ini.

Seow berkata kerjasama itu menggabungkan kepakaran luas Zchwantech Group dalam keselamatan siber dan integrasi digital dengan keupayaan transformasi AI menyeluruh Magna AI, termasuk integriti model dan tadbir urus data, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi penerimaan digital yang selamat serta mitigasi risiko yang berkesan.

Perkongsian strategik itu, katanya, menandakan satu langkah penting ke arah pembinaan ekosistem digital yang dipercayai, menyeimbangkan inovasi dengan keselamatan bagi membolehkan organisasi melakukan transformasi secara bertanggungjawab dan mampan.

Selain itu, perkongsian itu juga menterjemahkan teknologi termaju kepada hasil yang nyata untuk perusahaan dan pihak berkepentingan sektor awam, katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata kerjasama strategik itu ialah langkah yang tepat pada masanya untuk memperkukuh pembangunan dan penggunaan AI berdaulat di Malaysia, selari dengan keperluan keselamatan data dan kedaulatan digital negara.

Beliau berkata MoU yang dimeterai itu membuka peluang besar kepada syarikat tempatan, khususnya dalam bidang keselamatan siber, untuk bekerjasama dengan pemain antarabangsa yang memiliki kepakaran menyeluruh merangkumi infrastruktur, aplikasi dan keselamatan AI.

“Pendekatan yang dibawa oleh Magna AI bukan sekadar tertumpu kepada cip atau unit pemprosesan pusat (CPU), sebaliknya merangkumi pembinaan infrastruktur dan aplikasi, sekali gus berpotensi menangani isu paradoks produktiviti, iaitu perbelanjaan besar terhadap teknologi tanpa peningkatan produktiviti yang setimpal,” katanya.

Fahmi berkata kerjasama strategik itu boleh membantu syarikat tempatan, kerajaan negeri dan agensi kerajaan membangunkan aplikasi berasaskan AI berdaulat yang lebih praktikal dan memberikan impak sebenar kepada produktiviti serta kecekapan operasi.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan