KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Peluang beraksi pada saingan All England 2026 di Birmingham bermula 3-8 Mac ini medan terbaik untuk mengukur tahap kemampuan beregu lelaki muda negara Kang Khai Xing-Aaron Tai bersaing di kejohanan tinggi.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi berkata Khai Xing-Aaron perlu menggunakan pengalaman berentap pada kejohanan badminton tertua dunia itu untuk mencabar kelompok gandingan terbaik dunia.
“Khai Xing-Aaron ini kita anggap sebagai gandingan generasi seterusnya dan pengalaman beraksi di All England sangat penting untuk kemajuan mereka.
“Memang wajar pasangan muda ini beraksi memandangkan mereka jarang berjumpa dengan gandingan terbaik dunia termasuk daripada ranking 10 terbaik,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Walaupun terdapat kemajuan dalam prestasi juara remaja dunia 2024 ketika ini, Herry berkata Khai Xing masih perlu memperbaiki gaya persembahannya di atas gelanggang.
“Menurut pandangan saya, Aaron sudah boleh beraksi di tahap atas namun gandingannya (Khai Xing) harus lebih banyak berlatih terutamanya dari segi kepantasan dan kekuatan,” katanya.
Beliau pada masa sama berharap agar pasangan ke-35 dunia itu mampu mengekalkan konsistensi buat tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekali gus dapat beraksi pada kejohanan Jelajah Dunia lebih tinggi seperti Super 500 dan Super 750.
Walau bagaimanapun, Herry tidak menolak kemungkinan beliau mungkin akan memecahkan gandingan tersebut sekiranya tidak berjaya mencapai prestasi memuaskan dalam tempoh ditetapkan.
-- BERNAMA
