JOHOR BAHRU, 6 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah memperoleh perintah waran tangkap terhadap dua pegawai imigresen yang gagal hadir di mahkamah untuk dituduh berkaitan kes rasuah yang berlaku pada September 2024.
Sumber memaklumkan perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Chan Lee Lee dan Ameera D’Aneez Mohd Shukari.
“Sebelum itu, peguam kedua-dua tertuduh, Saleh Tukimin memberitahu mahkamah kedua-dua anak guamnya dalam tempoh cuti sakit kerana seorang mengalami slip disc atau cakera tergelincir dan seorang lagi mengalami masalah tiroid.
“Susulan itu, mahkamah menetapkan pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dilakukan sebelum 25 Feb ini,” katanya.
Sebelum ini, mereka dijadualkan didakwa pada 21 Jan lepas namun kedua-duanya gagal hadir ke mahkamah dan tarikh itu telah ditukar kepada semalam.
Pengarah SPRM Johor Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
