KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan ketara jumlah trafik di beberapa lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang bersambung dengan permulaan bulan Ramadan.
PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah trafik dijangka mencecah sehingga 2.2 juta kenderaan sehari semasa tempoh perjalanan puncak, khususnya pada 12, 13 dan 14 Feb bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang, serta pada 20 dan 21 Feb bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang.
“Sehubungan dengan peningkatan trafik yang dijangka, PLUS menasihatkan semua pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan sepenuhnya jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA bagi memastikan pergerakan trafik yang lebih lancar.
“Perancangan sedemikian amat digalakkan bagi tempoh perjalanan antara 11 hingga 22 Feb di sepanjang rangkaian lebuh raya PLUS dan LPT2. Pengguna lebuh raya boleh mengakses data trafik menerusi MyPLUS-TTA yang tersedia dalam aplikasi PLUS bagi membantu perancangan perjalanan. Pendekatan proaktif ini dijangka menyumbang kepada pengurangan kesesakan trafik di seluruh rangkaian lebuh raya,” menurut kenyataan itu.
MyPLUS-TTA ialah satu inisiatif digital PLUS yang dibangunkan berdasarkan analisis data trafik masa nyata, yang direka untuk mencadangkan waktu perjalanan paling optimum kepada pengguna lebuh raya.
Menerusi platform itu, pengguna boleh memperoleh anggaran masa perjalanan, keadaan trafik semasa dan pemberitahuan insiden, sekali gus memudahkan perancangan perjalanan yang lebih baik serta menggalakkan pengagihan trafik yang lebih seimbang, terutamanya semasa tempoh puncak.
Menurut kenyataan itu, data trafik daripada tempoh Tahun Baharu Cina 2025 menunjukkan penjimatan masa antara 30 minit hingga satu jam bagi pengguna yang mematuhi saranan MyPLUS-TTA.
“Sebagai contoh, perjalanan dari Jalan Duta ke Juru, yang secara purata mengambil masa sekitar lima jam setengah semasa musim perayaan, berjaya dikurangkan kepada kira-kira lima hingga empat jam setengah. Sebaliknya, pengguna yang melakukan perjalanan di luar slot masa yang disyorkan mengalami perjalanan yang lebih lama, dengan masa perjalanan meningkat sehingga tambahan tiga jam. Ini menunjukkan betapa besar pengaruh masa perjalanan terhadap tempoh perjalanan,” katanya.
Trafik dijangka melonjak apabila pengguna lebuh raya mengambil peluang sempena musim perayaan untuk melakukan perjalanan bercuti dan pulang ke kampung halaman bagi meraikan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga, di samping menandakan permulaan Ramadan.
Untuk maklumat lanjut dan akses kepada nasihat perjalanan digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya digalakkan memuat turun atau mengemas kini aplikasi PLUS bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa sepanjang musim perayaan.
-- BERNAMA
