AM

BELANJAWAN 2026: INISIATIF PTPTN BERSASAR, PERKUKUH AKSES PENDIDIKAN TINGGI

07/02/2026 11:58 AM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Inisiatif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 mencerminkan keprihatinan dasar kerajaan ke arah biasiswa pendidikan dan bantuan bersasar bagi keluarga miskin, sekali gus memperkukuh keadilan sosial serta kelestarian fiskal negara.

Antara tumpuan utama ialah pelaksanaan biasiswa PTPTN melibatkan 5,800 anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun dan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2036 dengan jumlah penerima ditingkatkan daripada 5,800 kepada 10,000 orang.

Pensyarah Perakaunan dan Percukaian Universiti Antarabangsa Al-Madinah Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata pendekatan bersasar diambil kerajaan mampu mengurangkan beban subsidi pukal dan memastikan dana pendidikan disalurkan secara lebih cekap.

“Dari sudut kelestarian fiskal, pendekatan ini mengurangkan risiko kecairan PTPTN dan membolehkan pengagihan dana dibuat mengikut kemampuan kewangan negara berbanding pemberian terbuka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dasar itu turut mencerminkan perubahan falsafah kerajaan dalam pengurusan dana pendidikan tinggi daripada bantuan umum kepada pelaburan sosial strategik.

“Kerajaan kini lebih menekankan tanggungjawab individu bagi golongan berkemampuan manakala perlindungan sosial diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan untuk mengelakkan ketirisan dana,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penggunaan data eKasih sebagai kaedah paling objektif buat masa ini untuk mengenal pasti penerima yang layak.

Mengenai pengecualian bayaran balik PTPTN kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA daripada keluarga B40 dan M40, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai insentif meritokrasi berkesan.

“Ia bukan sekadar ganjaran kewangan tetapi satu bentuk pengiktirafan yang boleh mendorong penuntut berusaha lebih gigih dan meringankan beban keluarga,” katanya.

Berhubung langkah sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang mampu tetapi culas tegar membayar balik pinjaman, Barjoyai menyifatkannya sebagai penguatkuasaan yang perlu selagi dilaksanakan seiring empati.

“Penguatkuasaan tegas wajar dikenakan kepada mereka yang sengaja mengelak tanggungjawab manakala ruang rundingan dan penstrukturan semula pinjaman perlu terus dibuka kepada peminjam yang benar-benar menghadapi kesempitan hidup,” katanya.

Sementara itu, peminjam PTPTN Ain Suraya Mohd Lazim, 29, berkata pembiayaan PTPTN banyak membantu perjalanan pengajiannya dari awal hingga tamat pengajian, khususnya dalam menampung yuran dan kos harian.

“Peminjam yang mampu perlu terus membuat bayaran balik kerana dana itu penting untuk membantu generasi pelajar seterusnya,” katanya. 

Secara keseluruhan, inisiatif PTPTN dalam Belanjawan 2026 dilihat memperkukuh ekosistem pembiayaan pendidikan negara melalui gabungan bantuan bersasar, insentif prestasi dan penguatkuasaan berhemah, selari dengan tema Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat demi menjamin kelangsungan dana pendidikan untuk generasi akan datang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan