AM

FAHMI AGIH BAUCAR RM150, LANCAR AMBULANS RM1 LEMBAH PANTAI SEMPENA TAHUN BAHARU CINA

07/02/2026 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengagihkan sumbangan berbentuk baucar pembelian barangan keperluan harian bernilai RM150 kepada hampir 700 penduduk masyarakat Tionghua di kawasan parlimen itu sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata sumbangan itu melibatkan penerima daripada golongan B40 dan M40 bagi membantu meringankan beban mereka ketika melakukan persiapan perayaan.

“Alhamdulillah, hari ini kita mengagihkan baucar untuk membeli barangan keperluan harian dari dua pasar raya di sekitar Lembah Pantai kepada hampir 700 orang,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai di pekarangan Pasar Taman Sri Sentosa di sini.

Beliau berkata rumah terbuka itu diadakan lebih awal susulan ketibaan bulan Ramadan sehari selepas perayaan tersebut.

Fahmi turut mengumumkan pelaksanaan perkhidmatan ambulans rakyat pada kadar RM1 di bawah inisiatif Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia, khusus untuk penduduk Lembah Pantai, terutama golongan B40.

“Sekiranya memerlukan perkhidmatan ambulans, mereka boleh menghubungi pejabat saya... ini merupakan usaha khidmat masyarakat bagi membantu warga sekitar Lembah Pantai,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi mengingatkan hadirin supaya berwaspada terhadap kegiatan penipuan dalam talian menjelang musim perayaan kerana penjenayah siber sering mengambil kesempatan apabila orang ramai mula mengeluarkan simpanan untuk persiapan perayaan.

“Sekiranya menjadi mangsa, segera hubungi talian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di 997 dalam tempoh 30 minit bagi membolehkan aliran keluar dana disekat,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan mesej yang dihantar melalui WhatsApp, SMS dan media sosial termasuk tawaran pelaburan yang kelihatan terlalu baik untuk dipercayai.

Fahmi juga berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan syarikat telekomunikasi supaya tidak membenarkan penghantaran SMS yang mengandungi pautan diragui bagi membendung kegiatan penipuan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan