KOTA TINGGI, 7 Feb (Bernama) -- Lima kru bot persiaran Thailand ditemukan selamat selepas terapung hampir 17 jam akibat bot dinaiki karam di perairan Tanjung Sedili Khamis lepas.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata pihaknya menerima laporan kecemasan pada 9 malam yang memaklumkan bot berkenaan mengalami kebocoran sebelum terputus hubungan ketika dalam pelayaran ke Singapura.
Beliau berkata bagaimanapun usaha pencarian oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang digerakkan segera ke lokasi kejadian berdepan kesukaran berikutan keadaan gelap dan jarak penglihatan terhad.
“Semua mangsa ditemukan nelayan tempatan dalam keadaan terapung, kira-kira 7.1 batu nautika timur Tanjung Siang pada 8.30 pagi semalam dan mereka dibawa ke Terminal Feri Tanjung Pengelih sebelum diberikan rawatan awal oleh petugas,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Najib berkata semua mangsa terdiri daripada lelaki berusia 43 hingga 74 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius dan telah diserahkan kepada Kedutaan Thailand bagi tindakan lanjut.
-- BERNAMA
