KUALA NERUS, 7 Feb (Bernama) -- Lebih 800 ekor ayam yang dijual pada harga RM6.80 sekilogram (kg) habis dalam tempoh dua jam menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di pekarangan Masjid Kampung Banggol Binjai, Tepoh di sini hari ini.
Operator PJRM Muhamad Fadhil Muhamed berkata selain ayam, bahan mentah lain seperti daging yang dijual pada harga RM21 sekg turut habis dalam tempoh yang sama.
Beliau berkata orang ramai mula menyerbu seawal 8 pagi tadi untuk membeli barangan mentah dan keperluan asas lain kerana harga barangan yang ditawarkan di program tersebut lebih murah berbanding di pasaran.
“Kehadiran orang ramai meningkat terutama apabila kemudahan pembayaran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disediakan, sekali gus mendorong peningkatan jualan dan peniaga menerima manfaat sama apabila menjana lebih pendapata,” katanya kepada Bernama di PJRM di sini hari ini.
Muhamad Fadhil berkata purata lebih 400 orang menggunakan SARA bagi pembelian barangan di setiap PJRM, malah orang ramai sentiasa bertanya dan menantikan program seterusnya terutama apabila kaunter pembayaran SARA disediakan di semua kaunter jualan.
Justeru, beliau berharap penganjuran PJRM dapat diperluaskan bagi memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman menikmati manfaat program tersebut.
Sementara itu, suri rumah Hamidah Mohd, 45, tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan asas menerusi PJRM dengan memanfaatkan SARA yang diterimanya.
Beliau berkata inisiatif itu amat membantu golongan berpendapatan rendah kerana menawarkan pelbagai barangan pada harga berpatutan, sekali gus meringankan beban perbelanjaan harian keluarga.
“Memang sangat mudah beli di sini (PJRM), barangan yang dijual juga murah dan berkualiti. Dengan hanya RM100, saya dapat membeli pelbagai keperluan asas untuk bekalan di rumah,” katanya.
Pesara kerajaan Jamilah Awang, 57, pula berkata dia turut mengambil kesempatan membeli barangan basah termasuk seekor ayam dan tiga kg daging sebagai bekalan keperluan di rumah.
"Harga yang ditawarkan menerusi PJRM, jauh lebih berpatutan berbanding harga pasaran. Sedikit sebanyak dapat membantu saya menjimatkan perbelanjaan harian terutama dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
“Sebelum ini saya sering membeli ayam di pasar raya tetapi harga di sini lebih murah dan sangat membantu saya sebagai pesara untuk berjimat,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, penjawat awam Wan Rokiah Mustafa, 44, berkata beliau berpuas hati dengan harga dan kualiti barangan mentah yang dijual.
Katanya pelaksanaan PJRM memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya yang berkeluarga kerana membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana memperluaskan program seperti ini yang memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah sekali gus membantu keluarga yang mempunyai ramai tanggungan,” katanya.
-- BERNAMA
