NIBONG TEBAL, 8 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) prihatin terhadap kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah semasa berhadapan situasi cuaca termasuk cuaca panas ketika ini, khususnya di utara negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pentadbir sekolah diberi autonomi untuk membuat keputusan dalam menguruskan aktiviti dan operasi ketika cuaca panas termasuk berkenaan pemakaian pakaian sukan bagi menggantikan uniform sekolah.
“Perkara ini sudah kita ulang ingatkan setiap kali cuaca panas bahawa kita ada garis panduan dan nasihat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM). Jadi, saya mohon semua pentadbir sekolah mengikut garis panduan yang diberikan dari semasa ke semasa.
“Keadaan tersebut boleh diuruskan melalui garis panduan itu yang (antara lain) membenarkan dari segi pakaian dan aktiviti dalam cuaca panas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program dan Semarak Sejahtera Warga Emas Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Jalan Sungai Acheh di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata garis panduan itu merangkumi aspek pemakaian, termasuk kebenaran untuk membuat penyesuaian seperti penggunaan pakaian sukan dan pengurusan aktiviti fizikal murid bergantung kepada tahap cuaca semasa.
“Pihak pentadbir sekolah mempunyai ruang untuk melihat keadaan dari semasa ke semasa dan membuat keputusan yang sesuai demi kebajikan murid dan guru asalkan berpandukan nasihat MetMalaysia dan KKM,” katanya.
Beliau juga menyeru semua pentadbir sekolah sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat serta kondusif walaupun berhadapan cuaca luar jangka.
-- BERNAMA
