AM

JKKP KELUAR NOTIS LARANGAN SUSULAN KEMALANGAN MAUT TAPAK PEMBINAAN HOSPITAL

08/02/2026 12:27 PM

GEORGE TOWN, 8 Feb (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan dua notis larangan terhadap syarikat kontraktor terlibat kerja pembinaan sebuah hospital di sini, susulan kemalangan maut pada Jumaat lepas.

JKKP dalam kenyataan hari ini memaklumkan notis itu melibatkan larangan ke atas aktiviti pembekalan Ready-mix Concrete oleh syarikat terlibat dan larangan penggunaan laluan keluar masuk ke kawasan loji pembancuhan konkrit sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

JKKP memaklumkan memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang gagal mematuhi peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Dalam kejadian 11.42 pagi 6 Feb, seorang lelaki Indonesia maut selepas lori simen dipandunya terjatuh dan terbalik ke dalam kawasan pembinaan aras bawah tanah semasa menjalankan kerja pembekalan konkrit.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan