AM

MALAYSIA, INDIA KOMITED PERKUKUH PERKONGSIAN STRATEGIK KOMPREHENSIF - PM ANWAR

08/02/2026 01:30 PM

PUTRAJAYA,  8 Feb (Bernama) -- Malaysia dan India akan terus memperkukuh kerjasama  susulan penaikan taraf hubungan dua hala kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Ogos 2024, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar berkata India merupakan rakan utama Malaysia dengan kerjasama yang semakin berkembang dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi dan pelancongan.

“Kita menganggap mesyuarat  (mesyuarat dua hala) dan pertukaran (MoU) ini suatu yang sangat penting, strategik dan kritikal untuk memajukan dan meningkatkan hubungan antara India dan Malaysia. Sudah tentunya, kita mempunyai hubungan yang lama sejak 1957, tetapi kita telah meningkatkannya kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2024.

"Hubungan sejarah yang lama terjalin, hubungan erat antara rakyat dan kerjasama ekonomi yang sentiasa berkembang akan terus memperkukuh kolaborasi dalam semua bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, semikonduktor, ekonomi digital, perdagangan mata wang tempatan, ketersambungan dan tenaga," kata beliau.

Anwar berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Modi sedang dalam rangka lawatan selama dua hari ke Malaysia.

Terdahulu, Anwar dan Modi menyaksikan pertukaran beberapa dokumen dua hala yang bertujuan memperkukuh lagi kerjasama institusi antara kedua-dua negara.

Anwar berkata kerjasama antara Malaysia dan India sangat komprehensif dan kedua-dua negara komited untuk melaksanakan perjanjian mereka dengan segera.

"Kami percaya kami boleh melaksanakan dengan segera perkara ini (melalui) komitmen kedua-dua kerajaan, menteri luar masing-masing.

“Kita juga menyaksikan pertukaran 11 dokumen, termasuk memorandum persefahaman (MoU) yang melangkaui perjanjian dua hala biasa kerana kita komited terhadap kerjasama keamanan dan kerjasama dalam semikonduktor, penjagaan kesihatan dan keselamatan,” kata beliau.

Mengenai pendidikan, Anwar berkata terdapat peningkatan dalam program pertukaran pelajar, dengan ramai rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran di India dan semakin ramai pelajar India memilih Malaysia.

Anwar juga berkata pelancongan dan kesalinghubungan merupakan bidang penting untuk menjalin  kerjasama pada masa hadapan susulan peningkatan ketara perjalanan antara kedua-dua negara sejak setahun lepas.

“Kita menyaksikan peningkatan ketara (aktiviti) perjalanan dan kesalinghubungan sepanjang tahun lepas. Kita berharap dapat memanfaatkan (kesalinghubungan) Malaysia ke Asia dan India, bagi meningkatkan globalisasi dan kesalinghubungan udara,” kata beliau sambil menambah India sebuah negara besar yang kaya dengan pelbagai sejarah, budaya, seni dan teknologi.

India merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM79.49 bilion (USD18.59 bilion) pada 2025.

Eksport Malaysia ke India berjumlah RM52.3 bilion (USD12.24 bilion) terdiri daripada minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, serta produk elektrik dan elektronik manakala import berjumlah RM27.19 bilion (USD6.35 bilion) yang terdiri daripada produk pertanian, petroleum dan kimia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan