BATU PAHAT, 8 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor mengumumkan peruntukan kira-kira RM17 juta untuk dimanfaatkan oleh masyarakat Cina di negeri berkenaan sebagai “hadiah” sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2026.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan itu merangkumi pelbagai aspek termasuk pendidikan, kebudayaan, pembangunan serta perayaan, yang mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri kepada semua kaum di negeri itu.
Beliau berkata bagi sektor pendidikan sebanyak RM1 juta akan disalurkan kepada Kolej Universiti Selatan (SUC) dan RM3.27 juta diberikan kepada 10 sekolah menengah persendirian Cina serta RM1.3 juta kepada 219 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) untuk bilik guru termasuk persatuan ibu bapa guru (PIBG).
“Bagi aktiviti kebudayaan dan keagamaan sebanyak RM1.5 juta adalah untuk aktiviti Tarian Singa ‘Maju Johor’ manakala sebanyak RM2 juta lagi kepada rumah ibadat bukan Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) Tiong Hua.
“Kami juga memberikan RM3 juta melalui Bantuan Kasih Johor kepada Kampung Baru Cina,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam dan Silaturahim Tahun Baharu Cina di Che Ann Khor Yong Peng di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata bagi memeriahkan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, kerajaan negeri akan memberikan peruntukan khas sebanyak RM4.36 juta untuk pelaksanaan program-program sempena perayaan itu termasuk pemberian ang pow.
Beliau memaklumkan peruntukan itu yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya oleh kerajaan negeri susulan beberapa faktor termasuk ekonomi dan hasil negeri yang semakin baik.
“Antaranya adalah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang semakin menjadi pilihan ramai pelabur, mereka membuka kilang dan memberikan manfaat kepada semua Bangsa Johor,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan membela semua masyarakat di Johor tanpa mengira kaum dan agama serta memberi tumpuan kepada “Semangat Bangsa Johor” bagi memperkukuh perpaduan di negeri itu.
-- BERNAMA
