EKONOMI

PENINGKATAN FDI, JS-SEZ PACU PUSAT DATA DAN SEKTOR PEMBUATAN TERMAJU MALAYSIA

09/02/2026 11:25 AM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Malaysia menyaksikan momentum yang kukuh dalam pusat data dan perkembangan pembuatan termaju selepas dipacu oleh lonjakan pelaburan langsung asing (FDI) termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menurut firma penasihat projek serta perundingan pengurusan dari Australia, TBH Consultancy.

Pengurus Negara TBH Consultancy, Michael Tan berkata JS-SEZ telah bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan utama dengan mempercepatkan pelaburan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

“JS-SEZ merupakan ekosistem ekonomi yang diselaraskan, direka bentuk untuk menarik syarikat-syarikat global selain mempercepatkan FDI serta menyepadukan pasaran antara Malaysia dan Singapura. Faedahnya akan menjadi dua kali ganda iaitu penyampaian infrastruktur langsung serta perkembangan tidak langsung yang akan dijana melalui pertumbuhan ini,” katanya kepada Bernama.

JS-SEZ akan memacu projek pembangunan di Johor Bahru, Iskandar Puteri dan kawasan sekitarnya, di samping taman perindustrian baharu, hab logistik serta pembangunan pusat data.

Beliau menambah FDI juga berkemungkinan tertumpu di sekitar pusat data berteknologi tinggi, memacu permintaan untuk logistik, pergudangan dan hab rantaian bekalan yang lebih meluas.

Tan ketika mengulas mengenai isu tenaga dan air yang lazimnya terkait dengan keperluan projek pusat data berkata ketersediaan sumber ini telah menjadi hambatan utama bagi industri pusat data Malaysia, ini bermakna, pemain sektor pembinaan mesti menyesuaikan diri untuk menangani cabaran tersebut.

“Permintaan sumber oleh pusat data memerlukan pendekatan perancangan berasaskan kitaran hayat yang holistik yang menyepadukan pengurusan sumber dan kawalan projek dari peringkat terawal.

“Dalam konteks ini, keputusan Johor untuk tidak meluluskan fasiliti Peringkat 1 dan 2 yang amat intensif air, yang mana, sebahagian daripadanya menggunakan sehingga 50 juta liter air sehari, membuktikan pengurusan sumber bukan lagi semata-mata mengenai pertimbangan teknikal; ia kini merupakan perancangan asas serta risiko pengawalseliaan,” katanya.

Projek-projek pada masa akan datang mesti mengutamakan pemilihan tapak yang mampan dan teknologi penyejukan alternatif untuk melindungi bekalan air masyarakat sambil menyokong matlamat peralihan tenaga Malaysia.

Beliau menambah kemampanan juga mesti diterapkan dalam kaedah perlaksanaan projek, dengan indikator seperti kecekapan penggunaan air dan jejak karbon menjadi metrik prestasi teras, bukan lagi sebagai item pematuhan.

“Berlatarbelakangkan ini, pelaksanaan sesuatu projek kini amat berpusatkan perancangan. Perancangan dan penyelarasan awal kini melibatkan penyertaan kontraktor pakar, vendor serta pihak berkuasa, ini membantu mengurangkan risiko semasa fasa pelaksanaan.

“Hasilnya, penyelarasan projek bergantung pada pacuan data dengan pelaporan masa nyata selain pemantauan berasaskan papan pemuka yang memberikan keterlihatan hampir serta-merta, merentas reka bentuk, perolehan dan pembinaan,” katanya.

Pertumbuhan kukuh negara dalam pembangunan infrastruktur, tenaga dan digital telah mewujudkan permintaan yang semakin meningkat bagi pengurusan projek pakar serta khidmat nasihat, khususnya untuk program yang kompleks dan berisiko tinggi.

Beliau juga percaya Malaysia akan menjadi pusat tumpuan untuk pembangunan teknologi serantau utama dan tenaga boleh baharu dalam jangka pendek hingga sederhana.

Melihat ke hadapan, Tan berkata cabaran terbesar untuk sektor pembinaan bukan lagi mengenai ketersediaan projek tetapi keupayaan dalam melaksanakannya dengan cekap di tengah-tengah kerumitan dan kekangan yang semakin melonjak.

Bagaimanapun, di sebalik halangan ini, peluang besar akan terus wujud untuk syarikat yang boleh menyesuaikan diri.

“Kontraktor dengan pasukan penyampaian misi kritikal yang mantap dan keupayaan pembinaan pantas akan berada pada kedudukan terbaik bagi mendapat peluang daripada pertumbuhan dalam pusat data serta pembuatan termaju,” katanya.

Jelasnya lagi, perancangan awal yang lebih kukuh, kerjasama erat merentasi rantaian nilai dan penggunaan lebih meluas dalam alatan digital serta pacuan data boleh meningkatkan produktiviti dan daya tahan dengan ketara di seluruh industri.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan