EKONOMI

PERTUMBUHAN SUKU KEEMPAT 2025 EKONOMI MALAYSIA DIJANGKA BERI PETUNJUK MOMENTUM ASAS KUKUH UNTUK 2026

09/02/2026 11:37 AM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku keempat 2025 dijangka melebihi paras tahun sebelumnya, memberi petunjuk bahawa momentum asas yang lebih kukuh dan risiko penurunan lebih rendah pada 2026, kata ahli ekonomi.

KDNK Malaysia meningkat sebanyak 5.0 peratus pada suku keempat 2024, kebanyakannya didorong oleh permintaan domestik.

Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata hasil pertumbuhan KDNK rasmi suku keempat 2025 dijangka secara amnya seiring dengan anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.7 peratus dengan hanya risiko semakan yang terhad.

Mohd Sedek berkata berbanding suku keempat 2024, apabila pertumbuhan masih dipengaruhi oleh normalisasi pasca pandemik dan turun naik luaran, pengembangan semasa lebih banyak dijana secara dalaman.

“Isi rumah berbelanja dengan keyakinan yang lebih tinggi, keadaan buruh kekal ketat dan inflasi telah menyederhana untuk mengekalkan kuasa beli sebenar, menyokong pertumbuhan yang lebih berterusan dan bukannya secara berperingkat.

“Secara praktikal, ini menjadikan pertumbuhan suku keempat 2025 lebih diunjurkan melebihi 5.0 peratus yang direkodkan setahun sebelumnya. Lebih penting lagi, ia menunjukkan ekonomi memasuki tahun 2026 dengan momentum asas yang lebih kukuh dan risiko penurunan lebih rendah walaupun persekitaran global masih tidak sekata,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebarang pelarasan kepada angka utama berkemungkinan akan mencerminkan penyiapan data dan kesan penanda aras dan bukannya penilaian semula keadaan ekonomi asas.

“Memandangkan kekuatan permintaan domestik dan aktiviti perkhidmatan pada suku keempat 2025, kemungkinan untuk angka sebenar berubah jauh daripada jangkaan awal adalah rendah,” katanya.

Bagi pertumbuhan KDNK setahun penuh Malaysia untuk tahun 2025, ia dianggarkan pada 4.9 peratus berdasarkan anggaran awal dan konsensus pasaran, lebih rendah daripada 5.1 peratus direkodkan pada  2024 tetapi melebihi julat ramalan kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini iaitu 4.0 hingga 4.8 peratus.

Firma penyelidikan seperti RHB Research, MBSB Research dan CIMB Treasury & Markets Research berkata pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada suku ketiga 2025, digabungkan dengan impak tarif lebih baik dan keadaan domestik berdaya tahan, mengukuhkan jangkaan prestasi ekonomi lebih kukuh pada 2025.

Jabatan Perangkaan Malaysia dijangka akan mengeluarkan angka rasmi KDNK untuk suku keempat 2025 pada 13 Februari, 2026.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari e Malaysia University of Science and Technology (MUST) bersetuju dengan pendapat Mohd Sedek dengan mengatakan bahawa beliau menjangkakan pertumbuhan KDNK rasmi suku keempat 2025 Malaysia akan menghampiri anggaran awal sebanyak 5.7 peratus, mungkin dalam julat antara 5.5 hingga 5.8 peratus.

“Memandangkan petunjuk aktiviti suku keempat 2025 kekal kukuh sepanjang November dan Disember terutamanya dalam pembuatan, penggunaan domestik dan perkhidmatan, terdapat sebab yang terhad untuk menjangkakan semakan menurun ketara,” katanya.

Beliau berkata terdapat kemungkinan kecil bahawa angka rasmi KDNK mungkin sedikit lebih tinggi daripada dijangkakan kerana perbelanjaan pengguna akhir tahun dan aktiviti perkhidmatan adalah lebih kukuh daripada diunjurkan.

“Terutamanya jika penggunaan swasta akhir tahun dan output perkhidmatan termasuk pelancongan serta perdagangan borong dan runcit, mencatatkan prestasi lebih baik daripada jangkaan kelihatan munasabah memandangkan perbelanjaan untuk percutian kukuh dan keadaan pasaran buruh yang lebih baik,” katanya.

Menurut Barjoyai, pertumbuhan suku keempat 2025 berkemungkinan besar akan melebihi 5.0 peratus dicatatkan pada suku sama pada 2024 dengan margin yang bermakna, disokong oleh permintaan domestik lebih kukuh, kitaran luaran lebih baik dan kesan asas menggalakkan.

Beliau berkata tidak seperti suku keempat 2024 yang masih terjejas oleh pemulihan eksport tidak sekata, pertumbuhan pada Suku Keempat 2025 adalah lebih meluas dengan penggunaan swasta disokong oleh keadaan pasaran buruh lebih kukuh, mengurangkan inflasi dan sokongan pendapatan kerajaan disasarkan.

Mengulas mengenai anggaran awal 5.7 peratus yang lebih baik daripada jangkaan, Barjoyai berkata ia menandakan daya tahan ekonomi asas, terutamanya ketika ekonomi melangkah ke tahun 2026, kata beliau.

“Apa yang menonjol bukan sahaja angka utama tetapi komposisi pertumbuhan dengan pengembangan akhir 2025 dipacu oleh penggunaan swasta yang stabil, pertumbuhan perkhidmatan, penstabilan pembuatan, dan pelaburan awam dan swasta berterusan, bukannya faktor sekali sahaja atau didorong oleh inventori,” katanya.

Beliau berkata pengetatan dasar tidak menjejaskan pertumbuhan, memandangkan aktiviti ekonomi kekal berdaya tahan meskipun keadaan kewangan global yang lebih ketat pada awal tahun ini dan pendirian dasar domestik agak kukuh.

“Ini menunjukkan bahawa campuran dasar Malaysia yang neutral kepada lebih ketat sedikit tidak menyekat permintaan, sekali gus mengukuhkan keyakinan bahawa ekonomi boleh bertolak ansur dengan normalisasi dasar,” kata Barjoyai.

Selain itu, beliau berkata prestasi kukuh suku keempat 2025 mengurangkan keperluan untuk pelonggaran monetari dengan BNM berkemungkinan mengekalkan pendirian yang berhati-hati dan bergantung pada data pada awal 2026, pada masa sama memantau risiko inflasi.

“Melainkan terdapat kelembapan global yang mendadak, sebarang penurunan kadar faedah lebih mungkin akan berlaku pada separuh kedua 2026 dan bukannya dalam tempoh terdekat.

Menyentuh tentang pertumbuhan KDNK sepanjang tahun Malaysia bagi 2025, dianggarkan sebanyak 4.9 peratus, Barjoyai berkata hasilnya mencerminkan separuh kedua yang lebih kukuh daripada jangkaan, dihadkan oleh pertumbuhan kukuh suku keempat 2025 sebanyak 5.7 peratus, meningkatkan purata sepanjang tahun.

“Komposisi pertumbuhan juga mesra dasar, didorong oleh perkhidmatan, pemulihan dalam pembuatan, pertumbuhan pembinaan dua digit yang berterusan dan permintaan domestik lebih kukuh walaupiun terdapat normalisasi fiskal dan monetari, menunjukkan peningkatan kualiti pertumbuhan dan bukannya kekuatan keseluruhan semata-mata,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan