KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan melaksanakan Program Pengganda30 melibatkan kos bernilai RM450 juta di seluruh negara sebagai intervensi utama untuk melonjakkan industri ruminan negara dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata inisiatif itu bertujuan mencapai 50 peratus Kadar Sara Diri (SSR) ternakan ruminan menjelang 2030.
“Program ini direka sebagai intervensi bersepadu untuk meningkatkan populasi ternakan ruminan pedaging, iaitu lembu dan kambing di Malaysia dengan menghasilkan impak skala besar dalam tempoh singkat,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung status projek pertanian berimpak tinggi dan usaha kerajaan memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.
Chan berkata berbeza dengan bantuan sara hidup konvensional, Program Pengganda30 bersifat komersial melalui konsep Kerjasama Awam–Swasta (PPP) yang dilaksanakan secara geran pemadanan dengan nisbah 90:10.
“Kerajaan menanggung 90 peratus kos dan peserta menyumbang 10 peratus kos yang dipermudah melalui dana pinjaman Agrobank,” katanya.
Selain itu, beliau berkata RM33 juta diluluskan di bawah RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk Projek Pemerkasaan Zon Pengeluaran Tanaman Makanan di seluruh negara.
-- BERNAMA
