PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mengikut peraturan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia merupakan negara berperlembagaan, dan sebarang pembinaan rumah ibadat tertakluk kepada undang-undang.
“Saya kata semua (rumah ibadat) boleh (dibina) kalau ikut peraturan yang sah. Apakah kita harus berikan kebenaran kepada kuil dan rumah ibadat yang tidak ikut peraturan? Tidak boleh kerana kita ikut jalur hukum (undang-undang).
"Kalau itu tanah orang, mana boleh kita buat (rumah) ibadat, itu rampas tanah orang," katanya ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata isu berkenaan tidak tertumpu kepada mana-mana agama, sebaliknya ia berkaitan pembinaan rumah ibadat di tapak yang tidak mendapat kebenaran.
“Walaupun istilah digunakan umum seperti kuil, perkara pokoknya ialah pembinaan di tempat atau tapak yang tidak sah. Di bawah peraturan, sama ada disenangi atau tidak, semua perlu ikut undang-undang.
“Masjid dibangunkan ikut peraturan, gereja dibangunkan ikut peraturan, begitu juga rumah ibadat lain. Yang penting, cari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan,” kata beliau.
Anwar turut mengingatkan semua pihak agar tidak mengganggu urusan berkaitan pengurusan hal ehwal agama dan menyentuh sensitiviti antara kaum di negara ini.
Beliau berkata salah faham mungkin terus berlaku dalam masyarakat berbilang kaum, namun tidak akan menjadi masalah sekiranya ia ditangani secara berhemah dan saling menghormati.
"Sedikit sebanyak salah faham akan terus berlaku dan ini tidak jadi masalah. Yang jadi masalah bila kita ambil sikap, pandangan kita sahaja yang betul dan kalau tidak benar itu harus diserang, dihina, dicerca," kata Anwar.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut mengulas kenyataan seorang bekas menteri yang mendakwa penganut Hindu tidak dapat mengamalkan agama mereka di Malaysia serta mengaitkan isu kematian dalam tahanan dengan diskriminasi agama.
Anwar berkata tuduhan sedemikian tidak wajar kerana ia mempertikai Perlembagaan Persekutuan dan berpotensi mengheret sentimen perkauman secara keterlaluan, sekali gus menjejaskan keharmonian negara.
Beliau berkata walaupun isu berkenaan menyentuh asas Perlembagaan negara, masih ada beberapa Ahli Parlimen daripada pembangkang yang menyokong kenyataan itu.
"Ada hadnya, boleh kritik. Tapi dasar kita jelas, jangan ganggu, hina, mana-mana anutan agama," kata beliau.
-- BERNAMA
