KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Pengguna lebuh raya disaran memanfaatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA sebagai persediaan menghadapi peningkatan trafik sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Feb ini.
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata MyPLUS-TTA, sebuah aplikasi yang dilancarkan pada 2023 itu sudah hampir 30 peratus penggunaannya daripada 2.2 juta pengguna lebuh raya.
“Kita dapat melihat corak perjalanan pengguna sebelum ini terutamanya pada musim perayaan yang menggunakan MyPLUS-TTA dan sekiranya lebih ramai menggunakan aplikasi ini, saya yakin akan bertambah lagi kelancaran trafik.
“MyPLUS-TTA merupakan pendekatan digital PLUS untuk membantu orang ramai merancang dan memilih perjalanan yang paling sesuai untuk musim perayaan dan waktu puncak di luar musim perayaan,” katanya pada sidang media sempena Jelajah Media Wilayah Tengah PLUS di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan peningkatan trafik hingga 2.2 juta kenderaan sehari bermula 12 Feb ini di rangkaian lebuh raya terlibat, selain hari puncak pada 12 hingga 14 Feb bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang manakala 20 hingga 22 Feb untuk perjalanan pulang ke ibu kota.
Nik Airina berkata PLUS turut mengaktifkan laluan smartlane di 32 lokasi yang dikenal pasti akan mengalami peningkatan trafik sepanjang musim perayaan pada 12 hingga 14 Feb.
“Smartlane akan dilaksanakan di 19 lokasi di wilayah tengah, lima di utara dan lapan di selatan negara bagi mengatasi kesesakan teruk di kawasan tertentu termasuk kawasan panas yang kerap berlaku kemalangan. Pengguna yang menggunakan laluan itu dinasihatkan berhati-hati, mematuhi arahan lalu lintas dan memandu secara berhemah,” katanya.
Beliau berkata bagi pengurusan kemalangan yang lebih efisien, pihaknya mempunyai pasukan respons kecemasan dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan pasukan ambulans yang melibatkan 432 anggota secara keseluruhan.
“PLUS mengenal pasti kira-kira 30 kawasan hotspot termasuk di Terowong Menora (Perak). Bagi keselesaan pengguna PLUS, lebih 60 lokasi R&R, hentian sebelah dan plaza tol telah ditambah baik sejak 2023 selain 26 unit tandas kabin di hentian sebelah dan plaza tol terpilih ditambah bagi meningkatkan kapasiti penggunaan pada waktu-waktu puncak sempena musim perayaan ini,” katanya.
-- BERNAMA
