AM

KOTA WARISAN PERAI: PENGALAMAN PELANCONGAN BERASASKAN ALAM, WARISAN KOMUNITI

09/02/2026 08:11 PM

BUTTERWORTH, 9 Feb (Bernama) -- Pulau Pinang memperkenalkan Kota Warisan Perai, satu inisiatif pelancongan berasaskan komuniti yang menampilkan potensi Seberang Perai melalui alam semula jadi, warisan dan pengalaman kehidupan setempat bagi mempelbagaikan produk pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Projek berkenaan diterajui oleh Think City dan dilaksanakan menerusi Program Geran Pekan Seberang Perai di bawah Program Levelling Up Seberang Perai (LUSP), dengan sokongan Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta rakan pelaksana, NL Travel & Tours.

Think City dan NL Travel & Tours dalam kenyataan bersama memaklumkan pelaksanaan projek itu turut melibatkan kerjasama erat komuniti setempat serta rakan strategik daripada institusi pengajian tinggi, persatuan dan agensi kerajaan.

“Ia bertujuan memperkukuh identiti sejarah kampung-kampung tradisional di sepanjang Sungai Perai, di samping merangsang pembangunan ekonomi setempat menerusi pendekatan ekopelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti.

“Kota Warisan Perai dirangka bagi menyediakan pengalaman bermakna kepada pengunjung dari dalam dan luar negara, sekali gus menawarkan alternatif kepada tumpuan pelancongan sedia ada di Tapak Warisan Dunia UNESCO, George Town,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Seberang Perai memainkan peranan penting dalam landskap pelancongan negeri, dengan kekuatan alam, sejarah dan komuniti sebagai sebahagian identiti Pulau Pinang.

“Inisiatif seperti Kota Warisan Perai membantu memastikan pembangunan pelancongan yang lebih seimbang dan inklusif, selain memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan inisiatif itu di sini semalam.

Pengarah Urusan Think City Datuk Hamdan Abdul Majeed berkata Kota Warisan Perai merupakan langkah awal untuk meneroka potensi Sungai Perai sebagai nadi ekonomi, ekologi dan sosial di Seberang Perai.

Beliau berkata matlamat utama projek itu adalah untuk mengangkat semula sejarah dan warisan kawasan Perai, memelihara ekosistem sungai serta membangunkan produk pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim (MFTH) yang memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada komuniti setempat.

Kota Warisan Perai melibatkan lima kampung utama iaitu Kampung Labuh Banting, Kampung Kota, Kampung Pengkalan Machang, Kampung Terus dan Kampung Air Hitam Dalam Perai, yang berkongsi sejarah pembentukan penempatan dan aktiviti ekonomi di sepanjang Sungai Perai.

Pengerusi NL Group of Companies Datuk Dr Muhamad Farid Saad pula berkata projek itu bukan sahaja mengetengahkan kisah dan sejarah kampung, malah membuka peluang baharu kepada penduduk setempat sebagai pengusaha pelancongan berasaskan komuniti, di samping memperkasakan sektor pelancongan mesra Muslim di Seberang Perai.

Selain aktiviti lapangan, sebanyak 12 bahan promosi pelancongan termasuk penerbitan dan kandungan audiovisual dibangunkan bagi mempromosikan aset ekologi, budaya dan komuniti Seberang Perai kepada khalayak lebih luas.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan