AM

DBKL BUKA PORTAL OSC KEPADA UMUM, PERKUKUH KETELUSAN PERANCANGAN BANDAR

09/02/2026 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka Portal One Stop Centre (OSC) kepada orang awam sebagai langkah memperkukuh ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam proses perancangan bandar raya ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata menerusi inisiatif itu, orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat berkaitan permohonan pembangunan di kawasan masing-masing serta mengesahkan sama ada sesuatu projek telah menerima kelulusan sewajarnya daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Bagi melindungi hak pemilik tanah dan pemohon, satu ruang akses awam khas telah diwujudkan dalam Portal OSC. Hanya maklumat perancangan yang tidak bersifat sulit dan relevan akan dipaparkan untuk tontonan umum.

“Maklumat persendirian dan sulit seperti pelan bangunan terperinci serta dokumen yang membentuk hak milik proprietari pemilik tanah akan terus dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembukaan akses itu dijangka meningkatkan keyakinan awam terhadap proses perancangan dan pembangunan, selain memastikan semua aktiviti pembangunan dilaksanakan secara teratur, mematuhi peraturan serta bertanggungjawab.

Hannah berkata pendekatan keterbukaan dalam perancangan bandar telah lama menjadi amalan piawai negara maju, dengan akses kepada maklumat asas perancangan diiktiraf sebagai hak awam dan bukannya maklumat yang perlu dirahsiakan.

“Reformasi ini telah sekian lama diperjuangkan oleh Ahli Parlimen, gabungan pertubuhan masyarakat sivil dan persatuan penduduk di Kuala Lumpur dan hari ini ia direalisasikan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud atas usaha memudah cara reformasi ini dengan pantas.

“Bandar ini milik rakyatnya dan setiap pihak berkepentingan mempunyai peranan dalam membentuk masa depan Kuala Lumpur,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal berkenaan menerusi osc3plus.dbkl.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan