KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM9.8 juta pada 2025 untuk menangani penyakit dan perosak utama tanaman kelapa sawit, termasuk kulat Ganoderma dan ulat bungkus, kata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Peruntukan itu merangkumi RM5 juta di bawah Skim Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TPSKS 2.0) bagi membantu pekebun kecil persendirian (PKP) yang terjejas disebabkan jangkitan Ganoderma Reput Pangkal Batang (RPB) dan RM4.8 juta di bawah Inisiatif Tabung Bencana Rawatan/Kawalan Penyakit dan Perosak untuk kawalan serangan ulat bungkus dan koya.
Kementerian itu berkata ia memandang serius penyakit Ganoderma Reput Pangkal Batang (RPB) dan sedang melaksanakan pelbagai langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.
“Rawatan Ganoderma RPB dilaksanakan bersama amalan sanitasi dan pengurusan ladang yang menyeluruh termasuk aplikasi kawalan biologi.
"Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut mengadakan program kesedaran secara berkala untuk memberi kefahaman dan meningkatkan kesedaran PKP mengenai penggunaan teknologi yang berkesan dan mengelakkan rawatan yang tidak disahkan,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.
KPK berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang meminta kementerian menyatakan jumlah peruntukan dan usaha-usaha yang telah dilaksanakan dalam menangani penyakit utama tanaman kelapa sawit seperti Ganoderma, ulat bungkus, “mealybug” dan “sooty mold”.
Ia berkata bagi kawalan ulat bungkus dan koya, dana khas telah digunakan untuk melaksanakan semburan udara menggunakan helikopter serta rawatan suntikan batang, dengan kawalan ulat bungkus secara semburan udara biopestisida meliputi kawasan seluas 2,327 hektar di Perak dan Johor sehingga Disember 2025.
Kementerian itu turut memaklumkan serangan koya yang menyebabkan rebakan kulapuk jelaga di Sabah ditangani menerusi pendekatan kawalan perosak bersepadu, termasuk penggunaan ejen kawalan biologi, semburan menggunakan dron dan helikopter serta penubuhan jawatankuasa bertindak bagi memantau situasi semasa.
--BERNAMA
