AM

KERAJAAN PERKUKUH PENGUATKUASAAN E-WASTE MELALUI PENDEKATAN KESELURUHAN NEGARA – KSN

10/02/2026 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan akan memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan sisa elektronik (e-waste) khususnya di pintu masuk utama negara melalui pendekatan keseluruhan negara yang menggabungkan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata kerjasama bersepadu itu penting kerana usaha pemerkasaan serta penyelarasan penguatkuasaan jenayah ekonomi rentas sempadan melibatkan dua peringkat utama di bawah kuasa kerajaan negeri, iaitu di pelabuhan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Di PBT ia berkaitan dengan pengeluaran lesen premis, melibatkan kedai besi buruk, bahan lusuh. 

“Dengan menggunakan pendekatan keseluruhan negara, kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan amat perlu (bagi memastikan penguatkuasaan ini dapat berjalan lancar dan berkesan),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri (JPPN) di sini, hari ini. 

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Shamsul Azri berkata Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri telah memulakan langkah mengumpulkan data daripada PBT berhubung jumlah premis berkaitan yang telah dilesenkan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap premis yang melanggar peraturan.

"Saya mulakan di Selangor dulu. Arahan telah diberikan supaya mengeluarkan profiling premis besi buruk di Selangor untuk kita tengok data itu. Lesen keluar berapa banyak, lesen mati dan daripada situ nanti kita akan ambil tindakan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata Kabinet telah mengarahkan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar untuk meneliti semula Akta Peniaga Sekendhend 1946 bagi memperkemaskan peruntukan undang-undang sedia ada serta menutup ruang ketirisan.

Beliau berkata sebanyak 61 kontena telah diperiksa dalam tempoh 27 hingga 30 Jan 2026 susulan pengoperasian awal AKPS di Pelabuhan Klang dan sebahagiannya dikenal pasti mengandungi barangan bermasalah termasuk e-waste serta bahan berkaitan.

"Daripada jumlah rampasan tersebut, hampir 200 tan merupakan e-waste dan sisa berkaitan manakala lebih 80 tan melibatkan bahan kuprum yang mempunyai nilai pasaran tinggi.

"Berdasarkan anggaran nilai pasaran konservatif, keseluruhan rampasan ini dianggarkan bernilai antara RM2.2 hingga RM3.2 juta tidak termasuk kehilangan hasil negara melalui pengelakan duti dan cukai, kos pelupusan serta risiko pengubahan wang haram,” katanya. 

Sementara itu,  Mohd Shuhaily berkata, AKPS akan bergerak selari dengan hala tuju yang ditetapkan kerajaan bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara lebih strategik dan menyeluruh.

“Semua maklumat yang diperoleh hasil pemantauan di sempadan akan dikongsikan dengan pihak PBT bagi membolehkan tindakan lebih komprehensif diambil,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan