AM

BENTENG BEG PASIR AKAN DITINGGIKAN ATASI HAKISAN PANTAI BATU FERRINGHI - EXCO

10/02/2026 04:41 PM

GEORGE TOWN, 10 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang akan meninggikan benteng beg pasir di pesisir pantai Batu Ferringhi bagi mengurangkan masalah hakisan susulan ombak luar biasa tinggi yang melanda kawasan itu tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata langkah mitigasi jangka pendek itu bagi memastikan struktur berkenaan mampu menahan ombak sekiranya berlaku peningkatan paras laut.

"Dapatan teknikal mendapati paras ombak pada tahun lepas kira-kira 0.6 meter lebih tinggi berbanding biasa sekali gus menyebabkan benteng beg pasir sedia ada gagal menahan hakisan dengan berkesan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Anugerah Penang Nature-Based Climate Adaptation di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung hakisan pantai di Batu Ferringhi yang semakin teruk dan mencemarkan pemandangan destinasi pelancongan popular di Pulau Pinang.

Zairil berkata JPS negeri ketika ini dalam proses pelantikan kontraktor termasuk menentukan ketinggian baharu beg pasir bagi memastikan perlindungan lebih berkesan.

Beliau berkata langkah itu lazimnya mampu bertahan kira-kira setahun, namun usaha sedang dijalankan bagi memanjangkan tempoh ketahanannya.

Katanya JPS juga sedang menyiapkan reka bentuk mitigasi jangka panjang bagi menyelesaikan isu hakisan pantai secara kekal, dengan kos dianggar sekitar RM60 juta.

"Projek mitigasi yang dilaksanakan sebelum ini berjaya memperbaiki keadaan pantai dan kaedah sama akan dipertimbangkan di Batu Feringghi termasuk pembinaan pemecah ombak, outfall serta kaedah penambakan pasir pantai," katanya.

Zairil berkata reka bentuk akhir projek melibatkan jarak sejauh tiga kilometer dari Tanjung Bungah ke Batu Ferringhi itu akan dimuktamadkan selepas kajian teknikal oleh JPS selesai.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan