KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan mengadakan sambutan Hari Wesak Peringkat Kebangsaan buat kali pertama pada Mei, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata inisiatif penganjuran itu mampu menjadi pemangkin kepada keharmonian antara kaum dan memperkukuh pembinaan nilai negara bangsa di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Beliau berkata sambutan itu dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara bersama-sama Kementerian Pengangkutan dan Malaysian Buddhist Consultative Council (MBCC).
“Mesyuarat Penyelarasan Sambutan Wesak Peringkat Kebangsaan 2026 telah diadakan bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan program berjalan lancar,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Aaron berkata inisiatif itu selari dengan pendekatan kementerian agar seluruh rakyat terus “Faham, Hormat, Terima dan Meraikan” kepelbagaian kaum, agama serta budaya sebagai asas kekuatan negara.
Penganut Buddha akan meraikan Hari Wesak pada 31 Mei.
-- BERNAMA
