JENAYAH & MAHKAMAH

PECAH AMANAH LEBIH RM1.2 JUTA: PENOLONG AKAUN DIPENJARA ENAM TAHUN, LAPAN SEBATAN

10/02/2026 11:04 PM

SANDAKAN, 10 Feb (Bernama) -- Seorang penolong akaun dipenjara enam tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan pecah amanah wang syarikat lebih RM1.2 juta tahun lepas.

Hakim Roslinda Razali menjatuhkan hukuman itu terhadap Chia Ka Rong, 24, selepas gagal memberikan alasan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Roslinda menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh ditangkap pada 3 Feb lepas, manakala satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan dilaksanakan secara berasingan.

Lelaki berkenaan didakwa membuat invois palsu syarikat pembekal untuk tuntutan kepada syarikat tempatnya bekerja di pejabat syarikat itu di Batu 2, di sini, antara Jun hingga Oktober tahun lepas, melibatkan jumlah RM1.2  juta dengan memindahkan wang syarikat ke akaun bank peribadinya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Chia yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman penjara dikurangkan dengan alasan dia anak tunggal yang perlu menyara ibu bapa.

Timbalan Pendakwa Raya B. Yuvan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kesalahan yang menyebabkan syarikat mengalami kerugian.

Yuvan berkata perbuatan itu adalah dirancang dan berulang kerana tertuduh membuat invois palsu dan melakukan beberapa transaksi untuk dipindahkan ke akaun milik peribadi.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan