AM

EMPANGAN BUKIT MERAH KRITIKAL PENGAIRAN TAHAP TIGA

11/02/2026 11:42 AM

IPOH, 11 Feb (Bernama) -- Empangan Bukit Merah berada pada status Kritikal Pengairan Tahap Tiga apabila aras takungan semasa direkodkan 20.65 kaki bersamaan 6.294 meter padu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata jumlah simpanan air empangan ketika ini sebanyak 9.3825 juta meter padu bersamaan 17.22 peratus daripada kapasiti keseluruhan empangan.

Beliau berkata dari segi keadaan cuaca, tiada hujan direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, dan keadaan cuaca di kawasan empangan adalah baik dan cerah.

"Bagi operasi pintu empangan, pelepasan air melalui pintu outlet (saluran keluar) masih diteruskan secara terkawal. Untuk Terusan Selinsing, sebanyak dua pintu dibuka pada kadar 20 peratus, bersamaan 488 milimeter, manakala bagi Terusan Besar satu pintu dibuka pada kadar tiga peratus bersamaan 73 milimeter," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad Nizar berkata bukaan spillway (pelimpah) tidak diaktifkan kerana aras air empangan berada jauh di bawah aras alur limpah, manakala bagi bukaan intake untuk tujuan pengairan, kadar aliran air yang dilepaskan ke Terusan Besar adalah sebanyak 0.566 meter padu sesaat, manakala ke Terusan Selinsing adalah sebanyak 6.230 meter padu sesaat selaras keperluan pengairan semasa.

"Pemantauan berterusan serta pengurusan pelepasan air secara berdisiplin dan berhemat amat penting bagi memastikan bekalan air pengairan dapat dikekalkan untuk tempoh yang lebih panjang.

"Kerjasama semua pihak khususnya pasukan operasi empangan dan pengurusan pengairan, amatlah dihargai bagi memastikan operasi empangan ini terus berjalan dengan selamat dan berkesan," kata Mohammad Nizar.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memaklumkan beberapa operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di tiga negeri, iaitu Johor, Kedah dan Perak mulai Rabu hingga Ahad (15 Feb) ini, termasuk Empangan Bukit Merah.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan