AM

BENTLEY MUSIC GROUP PERLUAS RANGKAIAN KE MALAYSIA TIMUR MENJELANG AKHIR TAHUN

11/02/2026 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Bentley Music Group Bhd (BMGB) dijangka memperluas rangkaian peruncitannya ke Malaysia Timur menjelang akhir tahun ini.

BMGB mengkhusus dalam peruncitan dan pemborongan alat muzik serta sistem pengukuhan bunyi, selain disokong Bentley Music Academy yang menawarkan pendidikan muzik di bilik pamerannya di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutifnya Lewis Siu Man Hooper berkata syarikat kini sedang mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembukaan bilik pameran baharu memandangkan ia telah mempunyai rangkaian pengedarannya di wilayah itu.

“Prinsip asas memasuki pasaran ini adalah untuk memperkukuh kehadiran, bukan sekadar dari segi pegangan pasaran, tetapi juga meningkatkan keterlihatan dan imej syarikat selepas 50 tahun memupuk bakat industri muzik.

"Usaha memperkukuh nilai jenama akan diteruskan, dan ini merupakan perkembangan yang amat baik,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.

BMGB kini mengurus dan mengendalikan empat bilik pameran runcit di bawah jenama Bentley Music di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Sementara itu, BMGB membuat penampilan pertama di Pasaran LEAP Bursa Malaysia pada harga 15 sen, premium tiga sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 12 sen, dengan 10,000 saham diniagakan.

Sejurus disenaraikan, syarikat itu mencapai permodalan pasaran bernilai RM30 juta, katanya dalam satu kenyataan.

Ia berkata sebahagian hasil IPO akan digunakan bagi memperkukuh keupayaan operasi dan memperluas capaian pasaran mengikut lokasi.

"Kumpulan bercadang memperuntukkan RM2 juta atau 66.67 peratus daripada hasil kasar langganan persendirian sebagai kos permulaan untuk menubuhkan bilik pameran runcit sama ada di Kota Kinabalu atau Kuching.

"Selain itu, kumpulan menyasarkan peluang pertumbuhan di pasaran wilayah yang kurang diterokai serta mempelbagaikan asas hasil di luar Semenanjung Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai kesan kecerdasan buatan (AI) dalam industri muzik, Siu berkata teknologi itu tidak akan menggantikan manusia kerana sesetengah elemen masih memerlukan sentuhan kreatif daripada komposer dan pemuzik dalam penghasilan lagu.

"Elemen AI boleh digunakan untuk mempertingkatkan bahagian tertentu dalam muzik, tetapi penggunaan instrumen sebenar tetap diperlukan, dan teknologi itu berpotensi melengkapkan perniagaan syarikat dengan lebih baik," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan