KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Sejumlah RM2.75 bilion nilai pelaburan asing berjaya dicatatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) sejak 2013 hingga tahun lepas.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ia berjaya mewujudkan kira-kira 31,050 peluang pekerjaan, yang sebahagian besarnya memanfaatkan tenaga kerja tempatan berkemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merangkumi kru teknikal, animasi, pascaproduksi dan sokongan produksi.
Beliau berkata dalam tempoh sama, Amerika Syarikat, China, India dan Australia ialah empat negara sumber pelaburan utama yang menjalankan aktiviti penggambaran di Malaysia.
“Ini melibatkan antaranya filem Transformer Cyber World (animasi) pada tahun lepas, dua program realiti, iaitu Survival Series Europe (2025) dan Tempting Fortune (2025) serta Lord of The Flies Series pada tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Teo berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai jumlah pelaburan asing yang berjaya ditarik masuk melalui FIMI dan langkah kerajaan untuk memastikan kandungan kreatif tempatan mampu menembusi platform penstriman global.
Mengulas lanjut, Teo berkata FINAS sentiasa melaksanakan usaha berterusan untuk menaikkan industri perfileman negara ke peringkat global termasuk penglibatan aktif dalam pasaran filem dan festival filem antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata FINAS juga sedang meneliti untuk menambah baik syarat FIMI kepada syarikat produksi asing termasuk meningkatkan syarat penggunaan kru tempatan yang lebih ramai.
Menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai pencapaian filem-filem Malaysia dari segi kutipan pecah panggung, Teo berkata sejak 2023, kutipan pecah panggung untuk filem tempatan mencatatkan peningkatan.
“Pada 2023, kutipan box office (pecah panggung) untuk filem tempatan adalah sebanyak RM180.7 juta sebelum melonjak kepada RM244 juta pada tahun lepas.
“Filem kita juga menerima sambutan yang baik di luar negara antaranya Abang Adik, Mechamato dan Ejen Ali The Movie 2.
-- BERNAMA
