MELAKA, 11 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan reman dua anggota polis bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap individu terlibat dalam kes narkotik, bulan lepas.
Perintah reman enam hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.
Sumber SPRM berkata dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan kira-kira 5 petang semalam ketika menghadiri proses kawad cam di pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mempercayai mereka melakukan perbuatan itu pada 5 Jan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh serta menerima rasuah itu secara tunai,” katanya.
Pengarah SPRM Melaka Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
