DUNIA

PENGEMBARA SINGAPURA KE MALAYSIA RUGI S$24,000 AKIBAT PENIPUAN PANCING DATA

11/02/2026 03:28 PM

SINGAPURA, 11 Feb (Bernama) -- Singapura melaporkan sekurang-kurangnya 10 kes penipuan melibatkan penduduk negara itu yang melakukan perjalanan ke Malaysia, dengan mangsa mengalami kerugian kira-kira S$24,000 selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kononnya dihantar oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), menurut media tempatan.

Mangsa menerima teks pesanan yang memaparkan nama pengirim “LTA”, meminta mereka menjelaskan bayaran tol yang tertunggak, bersama satu pautan yang mengarahkan mereka ke laman sesawang memancing data (phishing) untuk mendapatkan butiran perbankan bagi tujuan pembayaran, lapor Straits Times.

Menurut polis, ID LTA telah dinyahaktifkan pada Julai 2024 dan tidak lagi digunakan, dan sebarang teks pesanan daripada ID berkenaan adalah palsu.

Sementara itu, LTA dalam satu hantaran Facebook pada Selasa memberi amaran kepada orang ramai bahawa penipu menyamar sebagai agensi berkenaan untuk memperdaya mangsa supaya membayar tol yang tidak dijelaskan atau denda melalui pautan palsu.

“Mesej ini direka untuk mencuri butiran perbankan/kad kredit/kad debit serta wang anda.

“SMS rasmi LTA tidak mengandungi pautan pembayaran dan hanya dihantar melalui ID pengirim rasmi “gov.sg.” ID pengirim LTA tidak lagi digunakan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan