AM

PENINGKATAN CPI 2025 CERMIN KEAZAMAN POLITIK KUKUH, REFORMASI TADBIR URUS - AZAM BAKI

11/02/2026 07:42 PM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Peningkatan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), daripada tempat ke-57 pada 2024 ke kedudukan ke-54 tahun lepas, mencerminkan kemajuan positif yang didorong terutamanya komitmen politik yang teguh dan reformasi tadbir urus yang berterusan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata meskipun kedudukan itu boleh berubah, tumpuan seharusnya kekal terhadap usaha meningkatkan skor keseluruhan negara secara berterusan.

“Tahun lepas, kita (Malaysia) mencatatkan skor 50 daripada 100. Tahun ini kita mencapai 52, menunjukkan peningkatan dua mata berdasarkan sembilan tinjauan. Ini satu pencapaian yang baik, namun kita masih perlu berusaha.

“Sekiranya kita dapat meningkatkan skor kepada 56 tahun hadapan, ia akan menjadi kenaikan lagi empat mata. Bagi saya, fokus adalah terhadap skor, bukan terlalu pada kedudukan,” katanya dalam temu bual khas bersama media di sini hari ini.

Berdasarkan laporan CPI 2025 yang dikeluarkan Transparency International (TI) semalam, skor negara bagi tahun lepas meningkat kepada 52 mata, berbanding 50 dalam penilaian 2024.

Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura dan Brunei, mengekalkan kedudukan relatifnya di Asia Tenggara sambil mengatasi beberapa negara serantau.

Azam berkata reformasi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI, khususnya dalam memperkukuh tadbir urus baik dan menarik pelaburan asing telah menyumbang kepada peningkatan prestasi CPI.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah ke pelbagai negara, bertemu dengan ketua negara dan mempromosikan Malaysia. Beliau berjaya meyakinkan pelabur untuk datang ke sini (melabur di Malaysia). Sebab itulah ringgit kita kukuh dan pelaburan diluluskan meningkat. Ini merupakan petanda yang baik,” katanya.

Azam berkata Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028, yang bermatlamat memperkukuh integriti dalam institusi kerajaan dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara, kekal sebagai dokumen hidup yang menjadi panduan bagi reformasi dan penambahbaikan tadbir urus.

Azam berkata satu kumpulan fokus dan pasukan petugas khas yang dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha Negara kini sedang merangka strategi untuk meningkatkan prestasi CPI Malaysia.

SPRM juga, katanya akan meningkatkan sesi keterlibatan dengan organiasasi yang terbabit dalam menjalankan tinjauan berkaitan CPI bagi menyampaikan dengan lebih jelas tindakan penguatkuasaan serta hasil reformasi.

Azam berkata keazaman politik yang berterusan, khususnya dalam kepimpinan tertinggi negara penting bagi Malaysia meningkatkan skor CPI.

“Berdasarkan pemerhatian saya, sekiranya seorang pemimpin tidak bagus, tiada agenda jelas terutamanya dalam memerangi rasuah dan enggan melaksanakan reformasi, maka indeks itu akan kekal pada tahap sama atau menurun.

 "Jadi untuk CPI bagus untuk masa ke depan, kena ada iltizam politik. Mesti menunjukkan pembaharuan, reformasi yang penting dan kritikal untuk kebaikan negara, terutamanya sekali yang melibatkan isu integriti dan tadbir urus yang baik," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan