KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Perbincangan Meja Bulat (RTD) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini meneliti cadangan pelaksanaan sistem diyat sebagai instrumen pampasan berasaskan syariah bagi mangsa dalam kes kemalangan jalan raya di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata perbincangan anjuran bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan agensi berkaitan itu turut mengenal pasti implikasi serta cabaran pelaksanaan diyat dari sudut perundangan, pentadbiran, kewangan dan institusi pelaksana.
"Diyat bukan sekadar pampasan kewangan, tetapi turut mengandungi elemen moral dan sosial yang menegakkan tanggungjawab, menunaikan hak mangsa dan memelihara kesejahteraan keluarga mangsa.
"Sistem diyat berpotensi menyediakan mekanisme pampasan berteraskan keadilan substantif, melengkapi sistem tuntutan sivil dan insurans atau takaful sedia ada, sekali gus memberikan manfaat langsung kepada mangsa kemalangan dan keluarga mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata cadangan pelaksanaan diyat bagi mangsa kemalangan jalan raya ialah satu inisiatif yang perlu diteliti secara mendalam memandangkan ada mangsa yang masih berdepan kekangan dari segi tempoh penyelesaian yang panjang, kos yang tinggi serta rasa keadilan yang belum dipenuhi sepenuhnya, walaupun mekanisme pampasan melalui tuntutan sivil serta insurans dan takaful telah tersedia.
Zulkifli berkata justeru, bagi meneliti kebolehlaksanaan, menganalisis mekanisme operasi dan menilai implikasi perundangan terhadap cadangan pelaksanaan sistem diyat itu, RTD berkenaan menyediakan platform penting bagi pertemuan dan pertukaran pandangan serta idea daripada pakar antara agensi kerajaan, institusi kehakiman, pakar syariah, pakar perundangan dan pelbagai pihak berkepentingan.
"Perbincangan menekankan prinsip keadilan substantif, dengan fokus memperkukuh keadilan sosial dan perlindungan kepada mangsa kemalangan jalan raya tanpa menjejaskan sistem perundangan sedia ada," katanya.
Beliau berkata pihaknya komited memastikan setiap cadangan yang dikemukakan akan diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan sebelum sebarang dasar atau mekanisme baharu dipertimbangkan.
"Diharapkan RTD ini menjadi titik permulaan kepada usaha memperkasakan instrumen pampasan yang lebih berkesan, berteraskan prinsip maqasid syariah serta selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memelihara nyawa, keadilan dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Hasil dan resolusi daripada RTD ini, katanya, akan dijadikan panduan kepada kerajaan dalam merangka hala tuju dasar berkaitan pampasan kemalangan serta sebarang keputusan yang diambil mestilah benar-benar mencerminkan keadilan dan ihsan kepada semua rakyat.
-- BERNAMA
