AM

RUMAH IBADAT: PM TEGASKAN TIADA PIHAK BERHAK AMBIL TINDAKAN SENDIRI DI LUAR KERANGKA UNDANG-UNDANG

11/02/2026 11:35 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak berhak mengambil tindakan sendiri di luar kerangka undang-undang dalam isu berkaitan rumah ibadat.

Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara yang berteraskan undang-undang dan semua pihak perlu menghormati prinsip tersebut.

“Negara ini, negara yang harus patuh kepada undang-undang, berlandaskan kedaulatan undang-undang.

“Ya, sememangnya timbul pelbagai isu, kontroversi dan perbezaan… namun keutamaan kita adalah memastikan kestabilan terpelihara, kesucian kepercayaan kita dihormati serta pada masa yang sama memelihara perpaduan sejagat,” kata beliau. 

Anwar berkata demikian pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) 2026 di sini malam ini.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa semua pihak perlu mematuhi undang-undang dan peraturan berhubung pembinaan rumah ibadat dan isu sensitiviti di negara ini bagi memastikan keharmonian serta kestabilan terus terpelihara.

Merujuk isu berkaitan rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan serta cadangan pembinaan ladang babi yang hangat diperkatakan di Selangor kebelakangan ini, beliau berkata perkara itu perlu ditangani dengan baik dan penuh hormat.

“Akhir-akhir ini, seperti yang anda sudah tahu, kita hangat dengan isu di Selangor dan di negeri lain, soal rumah ibadat yang tidak ikut peraturan dan juga soal pembinaan ladang khinzir. Jadi saya nak gunakan kesempatan ini cuba menyebut bahawa semua kita tahu peraturannya, iaitu apa yang boleh, apa yang tidak boleh.

“… tetapi kita kena tangani dengan baik dengan hormat. Jangan menghina Islam Agama Persekutuan dan majoriti umat Islam di sini (dalam negara), tetapi tidak harus juga ada mana-mana pandangan untuk menghina amalan keluarga kita, masyarakat kita yang lain,” kata beliau.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan