KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengumumkan program Vetri MADANI dengan peruntukan berganda bagi memperluas peluang kerjaya komuniti India khususnya golongan B40.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata program Vetri MADANI tahun ini akan dilaksanakan menerusi kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDCorp).
“Jumlah baharu itu masih dalam perbincangan namun ketika ini peruntukan di bawah TalentCorp dan kementerian bagi pelaksanaan Program Malaysian Indian Skills Initiative (MiSI) 2.0 berjumlah RM4 juta.
“Saya beri jaminan ia akan digandakan tetapi tahapnya kita akan kaji dahulu mengikut keperluan. Kita tidak mahu membazir dana, setiap sen mesti digunakan dengan betul,” katanya selepas merasmikan Majlis Graduasi MiSI 2.0 di sini hari ini.
Beliau berkata pendaftaran akan dibuka bagi melihat sambutan sebelum mengumumkan jumlah peruntukan sebenar selain berkata lebih banyak latihan kemahiran dapat dilaksanakan bagi memenuhi keperluan industri semasa.
Program MiSI 2.0 mencatat kejayaan apabila 300 daripada 400 peserta berjaya memperoleh pekerjaan dengan pendapatan antara RM3,000 hingga RM7,500 sebulan, bergantung pada bidang masing-masing.
“Saya berharap Vetri MADANI dapat membantu graduan memperoleh tawaran gaji lebih tinggi khususnya dalam sektor kejuruteraan dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Mengulas berhubung kajian pelaksanaan gaji minimum, beliau berkata perkara itu sentiasa dilakukan bagi menawarkan gaji lebih baik kepada pekerja dengan kadar minimum kini dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,700.
Dalam perkembangan lain, Ramanan menasihati orang ramai tidak memperbesarkan isu berkaitan pembinaan rumah ibadat.
“Negara kita ada undang-undang dan peraturan. Jika kita semua mengikut peraturan, tiada masalah yang akan timbul. Kita menyediakan saluran perbincangan untuk menyelesaikan apa juga masalah yang timbul.
“Menerusi program Dharma MADANI, kerajaan menyalurkan RM20 juta kepada lebih 1,000 kuil manakala RM3.5 juta diperuntukkan kepada rumah ibadat tahun lepas melalui peruntukan khas Perdana Menteri,” katanya.
-- BERNAMA
