NIBONG TEBAL, 12 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan pantas berlandaskan saranan dan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani sebarang risiko penularan penyakit tuberkulosis atau tibi di sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pemantauan dan pengurusan kes dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah.
Beliau berkata situasi semasa dalam keadaan terkawal hasil kerjasama erat antara KPM dan KKM pada peringkat pusat, negeri serta daerah.
“Setiap laporan berkaitan kesihatan ditangani dengan segera dan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serahan Smartboard Prasekolah dan Flag Off Susu UHT Farm Fresh Grow Percuma Murid Prasekolah Seluruh Pulau Pinang, di sini hari ini.
Beliau berkata semua pelaporan dibuat serta-merta mengikut garis panduan KKM bagi memastikan sebarang risiko dapat dikawal lebih awal dan tidak menjejaskan keselamatan warga sekolah.
Fadhlina menegaskan KPM mengamalkan pendekatan pencegahan dan kesiapsiagaan berterusan dalam pengurusan isu kesihatan di sekolah.
Terdahulu, KPM melaksanakan inisiatif pemberian 145,000 unit susu UHT Farm Fresh Grow secara percuma kepada murid prasekolah di seluruh Pulau Pinang bagi menyokong aspek nutrisi dan tumbesaran kanak-kanak.
-- BERNAMA
