AM

PPZ-MAIWP PERKENAL KEMPEN RAMADAN 2026, IKHLAS MEMBERI TULUS MEMBANTU

12/02/2026 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) meneruskan usaha menggalakkan amalan berzakat dalam kalangan masyarakat Islam pada Ramadan ini menerusi kempen “Ikhlas Memberi, Tulus Membantu”.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata Ramadan merupakan masa sesuai untuk masyarakat memperbanyakkan amalan kebajikan, termasuk zakat dan wakaf, yang memberi manfaat kepada golongan asnaf.

“Tema kempen ini menekankan kepentingan memberi dengan penuh keikhlasan agar setiap sumbangan dapat memberikan kesan yang berpanjangan, khususnya kepada golongan yang memerlukan,” katanya pada majlis Pelancaran Kempen Ramadan Ikhlas Memberi, Tulus Membantu di sini hari ini.

Abdul Hakim Amir berkata kempen berkenaan bertujuan menyemai budaya memberi secara konsisten, sambil memastikan pengurusan zakat dan wakaf dilaksanakan secara amanah dan telus.

Kempen Ramadan 2026 melibatkan kerjasama PPZ-MAIWP dengan beberapa rakan strategik dan kolaborasi, antaranya Nunha, Airali dan Petit Moi bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti sepanjang Ramadan.

Abdul Hakim Amir berkata kempen yang berlangsung dari 19 Feb hingga 20 Mac itu merangkumi pelbagai program antaranya “podcast” bersama pempengaruh daripada pelbagai latar belakang, sesi usrah, iftar khas bersama selebriti selain sesi jelajah ke lokasi tarikan. 

“Pendekatan ini penting bagi mengekalkan keyakinan masyarakat bahawa setiap sumbangan yang dibuat diurus dengan berkesan dan disalurkan kepada pihak yang layak,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi 1447H/2026M, iaitu RM8, RM15 dan RM25 mengikut jenis beras yang digunakan, adalah selaras dengan harga semasa beras.

Abdul Hakim Amir berkata orang ramai boleh menunaikan zakat fitrah melalui amil yang dilantik, selain menggunakan saluran dalam talian yang disediakan bagi memudahkan urusan pembayaran.

Beliau berkata istimewanya pada tahun ini, pihaknya memperkenalkan inisiatif “30 Hari Berwakaf @Ramadan” dengan masyarakat berpeluang menyumbang kepada pelbagai projek wakaf berbeza setiap hari sepanjang  Ramadan

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan